SEMPORNA: Usaha memulihara ekosistem karbon biru terus diperkukuh melalui Projek Penanaman Rumput Laut di Pulau Bohayan di sini sempena Hari Rumput Laut Sedunia 2025 pada Sabtu (1 Mac).

Inisiatif ini dijalankan JETAMA Sdn Bhd (JETAMA) melalui Bahagian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Semporna, Dive Master Association, serta masyarakat setempat bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan ekosistem marin.
Ketua Pegawai Eksekutif JETAMA, Datuk Ahmad Naim Uddang, berkata projek itu merupakan kesinambungan usaha syarikat dalam menyokong agenda kerajaan negeri Sabah untuk memelihara ekosistem karbon biru sejajar dengan Halatuju Sabah Maju Jaya.
“Projek ini adalah kesinambungan daripada Program Penanaman Rumput Laut JETAMA yang dilaksanakan di Pulau Sepanggar pada September lalu.
“Kami akan terus komited meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar menerusi inisiatif ini.
“Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada industri pelancongan dan komuniti maritim tetapi juga menyumbang kepada usaha global dalam mengurangkan karbon dioksida serta mengekalkan keseimbangan ekosistem laut,” katanya dalam kenyataan semalam.
Rumput laut memainkan peranan penting dalam ekosistem marin dengan keupayaan menyerap dan menyimpan karbon dioksida lebih efektif daripada hutan daratan.
Selain itu, ia turut membantu menapis air laut, mengurangkan hakisan pantai, serta menjadi habitat penting bagi hidupan laut seperti ikan, penyu, dan makro marin.
Bagaimanapun, ekosistem rumput laut kini berdepan ancaman akibat pembangunan pesisir, pencemaran, dan aktiviti perikanan berlebihan.