DAVAO CITY – Angkatan Tentera Filipina-Komando Mindanao Timur mengesahkan bahawa mayat dua juruterbang serta serpihan jet pejuang FA-50 yang hilang telah ditemui di Gunung Kalatungan, Talakag, Bukidnon pada Rabu, 5 Mac.
memetik laporan agensi berita, Jurucakap Pemerintah Mindanao Timur, Lt. Kol. Salvacion Evangelista, mengesahkan dalam satu sidang media bahawa pasukan mencari dan menyelamat daripada pasukan khas berjaya mengesan lokasi nahas melalui pemancar lokasi juruterbang.
Evangelista berkata bahawa mayat-mayat tersebut ditemui berhampiran serpihan pesawat buatan Korea Selatan di Barangay Miarayon.
Pesawat malang itu dilaporkan hilang pada 4 Mac selepas terlibat dalam serangan udara waktu malam terhadap Tentera Rakyat Baru (NPA) di Cabanglasan, Bukidnon.
Pegawai operasi Pejabat Pengurangan Risiko Bencana Perbandaran Pangantucan, Rammel Gulahab, berkata pihak kerajaan tempatan telah mendapatkan bantuan daripada komuniti Orang Asli di kawasan itu untuk membantu dalam operasi mencari dan menyelamat.
Gulahab berkata bahawa mereka adalah anggota sukarelawan Bantay Lasang yang mahir dengan kawasan tersebut.
Pangantucan dan Talakag adalah antara pekan yang terletak dalam Banjaran Gunung Kalatungan.
Beliau menambah bahawa lokasi nahas terletak sekurang-kurangnya lapan jam perjalanan dengan berjalan kaki.