Kota Kinabalu : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah menahan sebuah bot tunda di kedudukan jarak lebih kurang 1.07 batu nautika Barat daya Tanjung Tarak- Tarak, perairan Kota Kinabalu petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rutin operasi rondaan di sekitar perairan Kota Kinabalu telah mengesan bot tunda tersebut dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, semasa ditahan untuk diperiksa, bot berkenaan hanya dikendalikan oleh seorang kru warganegara Indonesia yang berumur 38 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot terbabit telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MS0) 1952, antaranya gagal melaporkan pertukaran nakhoda dan beroperasi tanpa keanggotaan yang mencukupi.
“Berikutan itu, bot serta kru terbabit ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sepanggar untuk siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah hampir RM70,000,” katanya dalam kenyataan di sini.
Suhaimi berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sebarang aktiviti atau salahlaku jenayah di laut.
“Orang ramai turut diminta untuk melaporkan sebarang maklumat salah laku dan aktiviti jenayah di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan
W. P Labuan ditalian 088-387774 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA