HomeUtama13.2 metrik tan kelapa dieksport dari Sabah ke Semenanjung

13.2 metrik tan kelapa dieksport dari Sabah ke Semenanjung

Read Time:1 Minute, 56 Second

Oleh FLORIETA DIET

KOTA KINABALU: Sebanyak 13.2 metrik tan kelapa dari Sabah telah dieksport ke Semenanjung pada bulan lalu untuk membantu mengatasi kekurangan bekalan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Menurut beliau, potensi kelapa di Sabah sangat tinggi dan dapat menyumbang untuk memenuhi keperluan bekalan kelapa di Semenanjung, terutamanya menjelang bulan Ramadan dan Syawal yang akan datang.

“Namun, kita masih belum dapat memenuhi permintaan itu, kerana Semenanjung memerlukan sebanyak 661 metrik tan kelapa.

“FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) telah mengambil langkah untuk mencari bekalan dari Sabah, dan ini memberi isyarat kepada pengusaha kelapa di Sabah bahawa terdapat potensi besar dalam penanaman kelapa untuk menyumbang kepada pasaran tempatan.

“Oleh itu, kita menggesa kepada pengusaha-pengusaha di Sabah mengambil peluang ini untuk meningkatkan lagi pengeluaran untuk masa yang akan datang supaya boleh memenuhi permintaan terutama pada musim perayaan,” katanya selepas Pelancaran Pasar Tani Ramadan Peringkat Negeri Sabah di tapak Pasar Tani Asia City dekat sini pada Jumaat.

Beliau juga menambah bahawa Malaysia sebelum ini banyak mengimport kelapa kerana pengeluaran tempatan yang tidak mencukupi. Namun, masalah bekalan kelapa import yang tidak menentu dari luar negara telah membuka peluang besar untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan dengan mengoptimumkan pengeluaran kelapa domestik.

Dalam perkembangan lain, FAMA telah menyediakan sepuluh Pasar Tani Ramadan di seluruh negara, mensasarkan nilai jualan sebanyak RM7 juta.

Di Sabah, dua lokasi Pasar Tani Ramadan telah dibuka iaitu di Pasar Tani Asia City dekat sini dan di Putrajaya, Telipok, dengan sasaran hasil jualan RM1.5 juta, berbanding RM1.3 juta yang dicatatkan pada tahun lalu.

Pasar Tani Ramadan yang bermula sejak 1985 kini memasuki edisi ke-24 di Asia City dan edisi ke-21 di Telipok.

Di Asia City, sebanyak 95 pengusaha terlibat dan berniaga setiap hari sepanjang bulan Ramadan, dari jam 2 petang hingga 7 malam.

Arthur turut menegaskan bahawa Pasar Tani Ramadan memberikan manfaat “menang-menang” bagi pengusaha dan pengguna.

“Kami membawa pilihan barangan makanan daripada pengeluar terus kepada pembeli dengan harga berpatutan, sambil memberi ruang pasaran kepada pengusaha untuk menjual produk mereka secara langsung,” katanya.

FAMA juga berhasrat untuk memastikan konsep Pasar Tani ini diteruskan pada tahun-tahun akan datang. Memandangkan permintaan yang tinggi di Sabah, FAMA mempertimbangkan untuk memperluaskan konsep ini ke lebih banyak daerah di Sabah bagi meningkatkan ekonomi tempatan dan akses masyarakat kepada barangan berkualiti dengan harga berpatutan.

RELATED ARTICLES
Utama

Pejalan kaki maut dilanggar pacuan empat roda di Jalan Lintas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular