Kota Kinabalu : Pelbagai program yang memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi sudah dilaksanakan dalam tempoh empat tahun lalu oleh Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) di negeri ini.
Isteri Ketua Menteri merangkap Yang Dipertua MUTIARA GRS, Datin Seri Juliah Salag berkata, program yang dilaksanakan antaranya ceramah berkaitan kesihatan dan keusahawanan khususnya kepada golongan wanita, selain aktiviti kebajikan dan amal.
“Dalam tempoh empat tahun sehingga tahun lalu, pelbagai aktiviti telah dijalankan dengan membabitkan lebih 21 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri untuk menyantuni pelbagai lapisan masyarakat termasuk mereka yang kurang berkemampuan.
“Kita juga telah berkerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) Sabah untuk mengadakan pelbagai program antaranya ceramah berkaitan kesihatan dan keusahawanan.
“Sehubungan itu, saya berharap kita bukan saja akan terus membantu kebajikan rakyat khususnya golongan wanita di negeri ini, tetapi kita juga perlu meningkatkan kemahiran dan menuntut ilmu-ilmu yang baharu agar tidak ketinggalan dalam arus kemodenan masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Agung Tahunan MUTIARA GRS keempat Tahun 2024 di Rumah MUTIARA GRS di sini.
Juliah berkata lebih banyak lagi aktiviti akan diadakan pada tahun 2025 ini bagi menyantuni lebih ramai rakyat di negeri ini.
“Dalam bulan Ramadan ini, kita akan mengadakan aktiviti pembungkusan kuih raya untuk
diagihkan kepada pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di negeri ini.
“Dalam masa sama, saya juga meminta semua ahli-ahli MUTIARA GRS terus lebih aktif turun padang di kawasan masing-masing bagi menyantuni rakyat khususnya yang memerlukan bantuan di kawasan mereka,” katanya. – SABAH MEDIA