HomeUtamaMUIS sumbang lebih RM40 Juta kepada pembangunan pendidikan

MUIS sumbang lebih RM40 Juta kepada pembangunan pendidikan

Read Time:2 Minute, 7 Second

Kota Kinabalu:   Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) melalui Pusat Zakat Sabah (PZS) telah menyumbang sehingga RM40 juta setiap tahun kepada pembangunan pendidikan di negeri ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, jumlah itu dimanfaatkan untuk bantuan pendidikan kepada para pelajar, dermasiswa serta program-program pendidikan.

“MUIS pada tahun lalu telah mengumpul atau mengutip bayaran zakat sejumlah RM134 juta dan antara penyumbang terbesar kepada zakat ini adalah zakat penggajian lebih kurang lima peratus, manakala yang kedua adalah zakat perniagaan.

Arifin Arif

“Kita telah menyumbangkan atau mengagihkan semua yang telah diberikan kepada MUIS untuk semua asnaf yang berkenaan. Salah satu sumbangan besar MUIS melalui zakat ini adalah bidang pendidikan yang mana pada setiap tahun lebih RM40 juta kita sumbangkan atau kita keluarkan untuk pembangunan pendidikan.

“Ini termasuklah dermasiswa, bantuan pendidikan kepada pelajar-pelajar kita sejumlah RM20 juta pada setiap tahun dan selebihnya untuk guru-guru zakat, untuk program-program pendidikan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketiak ditemui selepas majlis penyerahan zakat perniagaan oleh Celcom Timur (Sabah) Sdn. Bhd. dan THP Sabaco Sdn. Bhd. di Istana Seri Kinabalu, di sini semalam.

Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama berkata, ia juga adalah sumbangan daripada bahagian zakat dan fitrah hasil daripada kutipan atau sumbangan atau hak yang telah ditunaikan oleh para penyumbang atau para pembayar zakat.

Katanya, sehingga Mac ini, MUIS berjaya mencatatkan RM12,941,574.33 pungutan zakat berbanding agihan yang berjumlah RM48,545,878.90 dan menyasarkan RM140 juta pungutan zakat pada tahun depan.

“Sehingga Mac ini, ada lebih RM12 juta dan kita akan sasarkan seperti mana tahun lepas tetapi bayaran atau agihan meningkat sehingga empat kali ganda.

“Pada tahun lalu sahaja, kita punya kutipan RM134 juta tetapi agihan kita RM174 juta dan ini zakat-zakat yang terbaki kita berikan terus atau kita agihkan terus kepada asnaf-asnaf berkenaan. 

“Sasaran tahun depan insyaAllah mudah-mudahan meningkat daripada RM134 mungkin RM140 insyaAllah,” katanya

Pada majlis tersebut, Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman menyaksikan MUIS menerima zakat perniagaan masing-masing RM1 juta daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qhazanah Sabah Berhad, Datuk Ahmad Rizal Dahli mewakili Celcom Timur dan RM999,985.00 daripada Pengerusi TH Plantation Berhad dan THP Sabaco Sdn. Bhd, Datuk Dr. Ahmad Kushairi Din.

Hadir sama, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam, Timbalan Yang di-Pertua MUIS Datuk Malai Ali Malai Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif dan  Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali dan Ketua Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS, Iwansuzairie Hari.

RELATED ARTICLES
Utama

Emelka Ryner dinobatkan Unduk Ngadau Kaamatan Putrajaya 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular