Kota Kinabalu : Situasi banjir di Sabah semakin pulih apabila semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Tenom dan Membakut ditutup sepenuhnya hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, penutupan PPS di dua daerah itu adalah selaras dengan pengisytiharan penamatan bencana banjir.
Pengisytiharan itu masing-masing dikeluarkan Pegawai Daerah Membakut Ibrahim Terki pada jam 12 tengah hari tadi dan Pegawai Daerah Tenom Mas Syazwan Masood pada jam 4 petang tadi.
“Dengan ini berdasarkan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) maka adalah diisytiharkan bahawa kejadian bencana banjir telah pulih sepenuhnya,” menurut kedua-dua kenyataan berkenaan.
Sehingga jam 8 malam tadi, seramai 449 orang mangsa melibatkan 144 keluarga di Beaufort masih ditempatkan di lima buah PPS. – SABAH MEDIA / FOTO APM