Kota Kinabalu : Kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan program atau projek pembangunan untuk rakyat di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan juga mempunyai tugas untuk mencari jalan menyelesaikan masalah atau isu yang dihadapi rakyat di negeri ini.
“Ini bukan pancing undi, ini adalah inisiatif kerajaan. Pemimpin pembangkang macam-macam saja dia buat, jadi apa yang dia suruh kerajaan buat? Umum projek untuk dilaksana, marah. Tidak umum, marah.
“Jadi apa yang mereka mahu? Jadi kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan program-program ataupun projek-projek pembangunan untuk rakyat.
“Kita umumkah? Tidakkah? Janganlah kecil hati atau iri hati. Itu tugas kerajaan. Kita menyelesaikan banyak isu di Sabah. Sekarang masalah air yang disebut banyak kali, elektrik dan lain-lain. Tugas kita untuk mencari jalan menyelesaikan masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) di Dewan Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya di sini hari ini.
Hajiji berkata demikian bagi mengulas dakwaan pihak pembangkang yang mendakwa Kerajaan negeri mengumumkan projek sebagai strategi pancing undi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.- SABAH MEDIA