KOTA KINABALU: Kerjasama strategik antara Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), dan Jabatan Pertanian Tuaran sedang giat dilaksanakan bagi mengoptimumkan potensi pertanian di Kiulu serta memperkasakan ekonomi komuniti setempat.
ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, berkata inisiatif ini diambil bagi memperkukuh pembangunan pertanian susulan kejayaan menjadikan Kiulu sebagai destinasi pelancongan luar bandar.
“Pertanian dan pelancongan saling melengkapi dan mampu membawa perubahan besar kepada landskap luar bandar Kiulu. Dengan infrastruktur yang lebih baik, perancangan strategik, dan pemindahan ilmu yang berkesan, kita dapat meningkatkan produktiviti pertanian serta memperkayakan pengalaman pelancongan berasaskan sumber semula jadi,” katanya.
Joniston berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan Pegawai Kanan Pertanian Tuaran, TS Nor Shafareena Hamsa, serta pegawai lain di Pejabat Pertanian Tuaran pada Rabu (12 Mac).
Dalam pertemuan itu, beliau dimaklumkan bahawa Kiulu telah dipilih sebagai lokasi projek perintis penanaman padi berhasil tinggi yang dilancarkan di Kampung Tompinahaton pada akhir tahun lalu.
Menurutnya, kejayaan projek ini bukan sahaja dapat meningkatkan hasil padi tempatan tetapi juga mengurangkan kebergantungan kepada beras import, sekali gus menyumbang kepada keselamatan makanan negeri.
Bagi menyokong pembangunan pertanian di kawasan itu, Joniston mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta daripada dana ADUN untuk menaik taraf jalan-jalan pertanian sedia ada serta membina jalan baharu.
“Berdasarkan rekod Pejabat Daerah Kecil Kiulu, terdapat 73 jalan pertanian di kawasan ini. Tahun ini, kira-kira 40 jalan akan dinaik taraf manakala beberapa jalan baharu turut dibina bagi memudahkan akses petani ke ladang mereka,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kemudahan infrastruktur yang baik akan membantu meningkatkan kecekapan pengeluaran hasil pertanian serta menarik lebih ramai golongan muda untuk menceburi sektor ini.
“Kami juga akan memberi tumpuan kepada penyediaan ilmu dan motivasi kepada golongan belia, khususnya graduan menganggur, untuk melibatkan diri dalam bidang pertanian dan pelancongan sementara menunggu peluang pekerjaan,” tambahnya.
Inisiatif pembangunan pertanian ini selaras dengan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan kepentingan sektor pertanian dalam merancakkan ekonomi negeri dan mengurangkan import makanan.
“Matlamat kami adalah menjadikan Kiulu sebagai model pembangunan luar bandar bersepadu yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, terutama dalam pemerkasaan ekonomi dan penciptaan peluang pekerjaan,” katanya.
Selain itu, Joniston turut mendedahkan bahawa pihaknya sedang merancang penubuhan kilang memproses nanas dan halia serta kemudahan pembungkusan padi bukit di Kiulu.
“Walaupun Kiulu adalah kawasan luar bandar, dengan perancangan yang betul, kami yakin sektor pertanian, pelancongan, dan pembuatan dapat berkembang selaras dengan pelan pembangunan SMJ,” katanya.