Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 semakin terasa, dengan pelbagai parti politik mula menyusun strategi bagi memastikan kemenangan.
Namun, bagi Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun, persaingan tidak seharusnya menjadi isu kerana setiap parti mempunyai hak untuk menamakan calon masing-masing.
Beliau menegaskan bahawa GRS juga akan mempertahankan kerusi yang telah dikuasai sebelum ini dan yakin dengan kekuatan jentera mereka.
“Bagi saya, itu hak masing-masing. Tidak ada siapa yang boleh melarang jika mereka mahu menamakan calon sendiri, begitu juga dengan kita. Jadi, tidak ada masalah jika setiap parti mahu menamakan calon mereka,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri mesyuarat bersama Ketua-ketua Wanita Komponen GRS di sini, pada Khamis (13 Mac).
Mengulas mengenai kemungkinan berlaku pertembungan di beberapa kawasan, termasuk di Dewan Undang Negeri (DUN) Api-Api seperti yang disebut oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dalam laporan media baru-baru ini, Azizah menjelaskan bahawa GRS masih belumpun membuat keputusan muktamad mengenai calon dan kawasan yang akan ditandingi.
“Seperti yang dimaklumkan oleh beberapa pemimpin, kita belum lagi menentukan calon dan lokasi bertanding. Namun, bagi kawasan yang sudah kita wakili, semestinya kita akan pertahankan,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Azizah turut menegaskan bahawa gerak kerja parti perlu diperkukuhkan, bukan sekadar untuk menghadapi PRN, tetapi bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela.
“Saya ini jenis yang tidak pernah puas hati. Biarpun kerja sudah hampir 100 peratus siap, saya tetap mahu ia diteruskan lagi. Kita tidak boleh berhenti. Sekarang pun sudah tinggal beberapa bulan sahaja lagi menghadapi PRN, jadi semua kena terus bekerja,” katanya.
Menurutnya, Wanita GRS memainkan peranan penting sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan dalam menyampaikan maklumat tepat serta membantu menyelesaikan permasalahan rakyat.
“Kita perlu turun padang, santuni rakyat dan pastikan mereka mendapat maklumat yang betul tentang usaha kerajaan. Jangan biarkan mereka tertipu dengan cerita yang bukan-bukan,” jelasnya.
Beliau turut menyeru semua jentera Wanita GRS untuk terus berada di lapangan, memperkukuhkan gerak kerja dan memastikan sokongan rakyat kekal teguh menjelang PRN Sabah yang semakin hampir.