HomeUtamaTerlepas tali gantung, pemuda syukur dapat pulang beraya bersama keluarga

Terlepas tali gantung, pemuda syukur dapat pulang beraya bersama keluarga

Read Time:1 Minute, 31 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Seorang pemuda yang sebelum ini berdepan hukuman mati dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada pertuduhan mengedar 1,431.5 gram dadah.

Hakim Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu terhadap Mohd Fareez Izwan Mohd Idros, 29, selepas pendakwaan menarik balik pertuduhan susulan representasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan diterima oleh Jabatan Peguam Negara, pada Khamis.

Mohd Fareez sebelum ini didakwa bersama seorang lagi individu, Mohd Nurfaizal Ruslin, atas pertuduhan mengedar 1,431.5 gram dadah jenis Methamphetamine di kawasan tempat letak kereta Apartment Cybercity Phase 1, Penampang, pada 30 Disember 2023.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Menurut peguam Azhier Farhan Arisin yang mewakili Mohd Fareez, dalam surat representasi, pihak pembelaan menegaskan bahawa anak guamnya tidak berada di lokasi serbuan ketika kejadian. Selain itu, tiada bukti kukuh menunjukkan dia mempunyai pemilikan fizikal terhadap dadah yang dirampas.

“Satu-satunya kaitan beliau dengan kes tersebut hanyalah nombor telefonnya yang ditemui pada bungkusan dadah yang dirampas daripada Mohd Nurfaizal.

“Setelah meneliti representasi itu, pihak pendakwaan bersetuju untuk menarik balik pertuduhan dengan syarat Mohd Fareez menjadi saksi pendakwaan dalam perbicaraan tertuduh pertama, Mohd Nurfaizal,” katanya.

Mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan terhadap Mohd Nurfaizal pada 20 hingga 22 Ogos 2025 selepas representasinya ditolak oleh Peguam Negara.

Sementara itu Mohd Fareez menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada peguam serta pihak yang menyokongnya sepanjang perbicaraan berlangsung.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana akhirnya dibebaskan. Ini adalah hadiah paling bermakna di bulan Ramadan. Saya dapat pulang dan menyambut Aidilfitri bersama keluarga selepas melalui detik sukar ini,” katanya dengan penuh kelegaan.

Di luar mahkamah, Mohd Fareez dipeluk erat oleh ahli keluarganya sebaik prosiding selesai.

Timbalan Pendakwa Raya Afiq Agoes mengendalikan kes ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Banjir di Sabah pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular