Putatan : Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Petagas telah bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah akan datang.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Petagas Mohd Isquzawan Israq Arsit berkata, ia termasuklah kesediaan jentera parti di semua peringkat termasuk Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan cawangan di bahagian itu.
“InsyaAllah kalau diberi mandat daripada kepimpinan, presiden dan sebagainya, kita di bahagian Gagasan Rakyat Petagas telah bersedia. Setakat ini kita telah menyiapkan segala jentera termasuk mewujudkan jawatankuasa di peringkat bahagian selain PDM dan cawangan.
“Ini juga termasuklah data-data pengundi pun kita telah kumpul, di mana kita telah sasar melebihi 8,000 pengundi pada masa ini data yang kita telah kenal pasti untuk dibuat kajian sikap,” katanya ketika ditemui Sabah Media di sini.
Isquzawan berkata, pihaknya akan terus mendekati rakyat khususnya di kawasan berkenaan bagi menambah peratusan pengundi dari masa ke semasa.
Justeru beliau menyarankan kepada semua jentera parti untuk lebih mengadakan program yang memberi impak khususnya menyantuni pengundi daripada membuat program yang berskala besar.
Ini kerana katanya, program yang berskala besar ini amat sukar untuk menyantuni secara individu.
“Jadi itulah pentingnya kita lebih menyantuni rumah ke rumah atau mengikuti apa program yang mereka mahukan di setiap kampung, di setiap cawangan dan sebagainya.
“Bagi saya, bahagian Petagas telah bersedia dan sekiranya kita diberi peluang, kita akan pastikan bahawa kerusi ini dapat diberikan kepada Gagasan Rakyat ataupun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membentuk kerajaan yang akan datang,” katanya. – SABAH MEDIA