Kota Kinabalu: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) melalui Bahagian Zakat dan Fitrah menyerahkan agihan zakat sebanyak RM776,634.90 kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Penyerahan zakat harta itu disampaikan Penolong Setiausaha Kanan (Pungutan) MUIS, Wan Mohd. Zakri Wan Yaacob kepada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor, pada Majlis Iftar Perdana UMS di sini semalam.

Majlis penyerahan itu disaksikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman yang turut menyampaikan bantuan zakat kepada lapan pelajar universiti tersebut.
Agihan kutipan zakat harta bagi tahun itu adalah hasil memorandum perjanjian (MOA) yang telah dimeterai pada tahun 2022 bagi membantu meringankan beban kewangan asnaf dalam kalangan pelajar dan kakitangan UMS.
Tahun ini merupakan tahun ketiga agihan zakat harta yang diberikan kepada UMS dengan kutipan tertinggi sebanyak RM1.5 juta pada tahun lalu.
Di samping itu, Tun Musa turut menunaikan solat terawih bersama 500 warga pentadbir, pendidik dan para pelajar UMS.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.