HomeUtamaSabah tarik pelaburan RM58.319 bilion, bukti kepimpinan Hajiji berkesan

Sabah tarik pelaburan RM58.319 bilion, bukti kepimpinan Hajiji berkesan

Read Time:2 Minute, 46 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Sabah terus mencatat kejayaan besar dalam menarik pelaburan di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Dengan jumlah pelaburan mencecah RM58.319 bilion, negeri ini kini berada di landasan tepat untuk mengukuhkan ekonomi, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, dan mempercepatkan pemodenan infrastruktur.

Kejayaan ini membuktikan dasar kerajaan negeri yang stabil dan mesra pelabur, sekaligus meningkatkan keyakinan pelabur asing serta tempatan untuk melabur di Sabah.

Invest Sabah Berhad turut memainkan peranan penting sebagai pemudah cara utama dalam membawa masuk pelaburan strategik ke negeri ini.

Pengerusinya, Senator Tan Sri Anifah Aman, menegaskan bahawa kestabilan politik adalah faktor utama dalam menarik pelaburan berskala besar ke Sabah.

Anifah Aman

“Tidak ada syarikat mahu melabur di tempat yang kucar-kacir. Kalau tidak ada keyakinan terhadap pucuk pimpinan, mustahil pelabur datang. RM58.319 bilion pelaburan yang masuk ke Sabah membuktikan bahawa kepimpinan sekarang berada di landasan yang betul,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar Invest Sabah Berhad, semalam.

Beliau turut memuji usaha kerajaan negeri dalam memperkukuhkan infrastruktur, menyediakan dasar mesra pelabur serta memanfaatkan sumber negeri secara bijaksana, yang menjadi faktor utama kejayaan ini.

“Dengan adanya pelaburan ini, ia semestinya akan mengubah landskap pembangunan Sabah, di mana rakyat akan menikmati arus pemodenan yang pesat,” katanya.

Anifah dalam ucapan perasmian majlis iftar itu turut memberi penghargaan kepada Ahli-Ahli Lembaga Pengarah, pihak pengurusan dan semua kakitangan Invest Sabah Berhad atas usaha mereka dalam merealisasikan sasaran pelaburan negeri.

Dalam perkembangan lain, Anifah menegaskan bahawa tumpuan utama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah bukanlah soal pencalonan individu, tetapi memastikan kemenangan dan kestabilan politik demi kemajuan negeri.

“Soal kerusi tidak penting, soal menang lebih penting… Kalau tidak jadi calon pun, saya tetap sokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.

Menurutnya, Sabah perlu mengekalkan kepimpinan sedia ada bagi memastikan kesinambungan dasar pembangunan yang telah dirancang.

“Kita mahu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, disokong oleh rakyat Sabah sendiri, bukan keputusan yang ditentukan dari Semenanjung. Masih banyak perkara yang perlu diselesaikan dalam masa terdekat, jadi kita perlu beri peluang kepada kepimpinan sekarang untuk meneruskan kerja mereka,” jelasnya.

Beliau juga mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan propaganda politik dan janji kosong pihak tertentu.

“Ada peribahasa Melayu, ‘mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan.’ Jangan mudah terpedaya dengan ucapan-ucapan yang sebahagian besarnya tidak benar. Kita perlu berfikir secara rasional dan memilih kepimpinan yang benar-benar mampu membawa pembangunan,” tegasnya.

Mengenai peranan Parti Cinta Sabah (PCS) dalam PRN akan datang, Anifah tidak menolak kemungkinan parti itu akan bertanding, namun menekankan bahawa kemenangan lebih penting daripada sekadar bertanding di banyak kerusi.

“Tidak ada gunanya ada lima, enam atau sepuluh kerusi kalau tidak boleh menang. Apa yang penting ialah kita berada dalam gabungan yang kuat dan mempunyai hala tuju yang jelas untuk Sabah,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan bertanding dalam PRN akan datang, Anifah secara diplomatik menyatakan bahawa keutamaannya adalah untuk terus berkhidmat kepada rakyat, sama ada sebagai calon atau tidak.

“Saya sudah jadi Ahli Parlimen, sudah jadi Menteri, sudah jadi Senator. Kalau boleh terus membantu, saya bantu. Kalau tidak, saya tetap menyokong penuh GRS,” katanya.

Terdahulu, pada majlis iftar itu, Invest Sabah Berhad turut menyantuni anak yatim dan pelajar tahfiz dengan memberikan sumbangan duit raya.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Hajiji kepada 20 orang anak yatim dari Rumah Amal Kasih Kingfisher dan 20 pelajar dari Maahad Tahfiz Tuaran.

RELATED ARTICLES
Utama

Ibu dan anak selamat dalam insiden kereta terjunam ke kolam kumbahan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular