HomeUtamaJKNS keluarkan 34 notis kompaun pada 'Ops Bazar Ramadan'

JKNS keluarkan 34 notis kompaun pada ‘Ops Bazar Ramadan’

Read Time:1 Minute, 43 Second

Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) berjaya mengeluarkan 34 notis kompaun dengan nilai RM5,200 kepada peniaga dan pengendali bazar Ramadan di seluruh Sabah menerusi ‘Ops Bazar Ramadan’.

Pengarah JKNS Dr Maria Suleiman berkata, operasi yang dilaksanakan di seluruh negara termasuk Sabah itu turut mendapat kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Daripada jumlah kompaun yang dikeluarkan, sebanyak 11 (32.4 peratus) adalah kesalahan tiada sijil latihan pengendali makanan; lima (14.7 peratus) adalah kesalahan berhubung suntikan anti tifoid.

“Manakala sebanyak 16 kompaun (47.1 peratus) adalah Kesalahan pakaian pengendali makanan dan dua lagi (5.9 peratus) pemilik gagal kemukakan dokumen Sekolah Latihan Pengendalian Makanan dan Suntikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Program ‘Walkabout’ Pemantauan Bazar Ramadan 2025 peringkat Negeri Sabah di Lintasan Deasokan di sini baru-baru ini.

Dr Maria berkata, seramai 4,065 pengendali bazar Ramadan telah dilatih pada tahun ini melalui taklimat keselamatan makanan yang dilaksanakan bersama PBT bagi memastikan semua peniaga dan pengendali telah mendapat suntikan tifoid dan latihan pengendali makanan sebelum menjual di bazar.

Katanya, sehingga kini JKNS telah menggerakkan seramai 682 penguatkuasa bagi memantau penyediaan dan kebersihan makanan di 91 lokasi bazar Ramadan seluruh negeri sepanjang bulan puasa ini.

“Bilangan premis Ramadan yang telah diperiksa adalah sebanyak 1,152 buah premis daripada 17 daerah.

“Ia merangkumi daerah Papar, Tuaran, Kota Marudu, Kuala Penyu, Beaufort, Tambunan, Nabawan, Lahad Datu, Semporna, Keningau, Tongod, Kinabatangan,Pitas, Sandakan, Kudat, Beluran dan Sipitang.

“Seramai 2,393 orang pengendali makanan di bazar Ramadan telah diperiksa dan seramai 2,325 (97.2%) orang memiliki suntikan, 2,328 (97.3%) telah mendapat Latihan pengendali makanan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Maria berkata, JKNS kini menggunakan aplikasi ‘WhatsApp’ untuk memantau kebersihan bazar Ramadan.

Katanya, orang ramai boleh membuat aduan mengenai kebersihan dan keselamatan makanan secara langsung melalui platform ini yang beroperasi sepanjang tahun.

“Untuk sebarang pertanyaan atau aduan mengenai keselamatan makanan, orang ramai boleh menghubungi WhatsApp Aduan Kebersihan Premis Makanan 012-8484378 atau pejabat kesihatan kawasan/daerah terdekat.

“Maklumat lanjut juga boleh didapati di laman sesawang fsq.moh.gov.my,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JKNS

RELATED ARTICLES
Utama

Lebih RM2 bilion peruntukan untuk ATM di Sabah: Mohamed Khaled

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular