Tuaran : Seramai 130 orang golongan asnaf menerima sumbangan bantuan tunai daripada Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) bagi meringankan beban penerima menjelang Aidilfitri.
Sumbangan yang diserahkan sempena Majlis Berbuka Puasa KYS di Masjid Umar Al Khattab, Taman Telipok Ria, Tuaran itu turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd. (ICSB) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya.
Hadir sama, Ketua Penyelaras Pentadbiran Zon Yayasan Sabah, Zulkhairi Ismail; Pengerusi Masjid Umar Al Khattab, Nasruddin Muhd Ali, bersama seramai 400 orang penduduk Taman Telipok Ria.

Program itu diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara warga KYS dengan masyarakat setempat serta menyantuni golongan yang memerlukan melalui sumbangan kebajikan.
Selain menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf, pihak masjid turut menerima pelbagai sumbangan keperluan asas, termasuk tangki air, kipas industri, kit jenazah, serta dapur gas lengkap dengan tong gas.
Majlis ini dimulakan dengan penyampaian sumbangan, diikuti sesi tazkirah, sebelum para tetamu menikmati jamuan berbuka puasa bersama.
Selepas solat Maghrib, program diteruskan dengan solat Isyak dan solat Tarawih secara berjemaah.
Penganjuran majlis berbuka puasa ini mencerminkan komitmen KYS dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat.
Inisiatif ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan dalam menyemarakkan semangat kebersamaan dan kebajikan. – SABAH MEDIA / FOTO KYS