Tuaran: Keprihatinan Telekom Malaysia (TM) Sabah dan Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah terhadap golongan kurang bernasib dapat membantu mengurangkan beban khususnya di bulan Ramadan.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Abdul Kassim Razali berkata Program Cahaya Ramadan 2025 yang menyantuni golongan tersebut bukan sahaja untuk memberi kegembiraan tetapi juga meraih keberkatan.

“Keprihatinan terhadap golongan kurang bernasib baik sangat penting dan program ini memberi ruang untuk menyantuni mereka kerana kita bukan sahaja membawa kebahagiaan kepada mereka, tetapi juga membuka pintu keberkatan dalam kehidupan kita sendiri.
“Saya difahamkan tahun ini merupakan tahun ketiga pihak TM melaksanakan program Cahaya Ramadan dan pada kali ini mereka bekerjasama bersama JAPEN Sabah. Seramai 151 orang menerima manfaat daripada program ini semoga bantuan itu sedikit sebanyak mengurangkan beban dan membawa kegembiraan kepada penerima.
“Harapan saya agar program seperti ini akan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan penglibatan skala yang lebih besar,” katanya semasa merasmikan program tersebut,” katanya ketika berucap dalam program itu di Masjid Baitul Makmur, Kampung Kota Tuaran, di sini semalam.
Kassim berkata, Program Cahaya Ramadan merupakan satu inisiatif penting dalam memperkukuh identiti Islam serta memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat khususnya di Sabah.
“Dengan adanya program kerjasama strategik yang berlandaskan nilai-nilai Islam, masyarakat Islam akan lebih memahami serta mengamalkan ajaran agama kita dalam melaksanakan aktiviti dalam kehidupan seharian,” ujar beliau.
Dalam majlis tersebut, seramai 31 anak yatim dari Maahad Tahfiz HOME Tuaran menerima sumbangan zakat, seramai 80 orang penerima bakul makanan dari empat buah kampung sekitar Tuaran serta 40 orang penerima dari kalangan OKU penglihatan.
Hadir sama, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, Pengurus Besar TM One Sabah TM Sabah, Arif Lakura, Penolong Pegawai Daerah Tuaran, Alfian Rahim mewakili Pegawai Daerah Tuaran, dan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Baitul Makmur, Kg. Kota Tuaran, Agustan Nanti.