HomeUtamaDBKK pasang CCTV pantau buaya di kawasan ‘hotspot’

DBKK pasang CCTV pantau buaya di kawasan ‘hotspot’

Read Time:1 Minute, 40 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memperkukuh pemantauan kehadiran buaya di perairan sekitar bandar raya ini dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan ‘hotspot’.

Langkah ini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Pengurusan Ancaman Buaya Kepada Masyarakat DBKK, yang dipengerusikan oleh Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah.

Jawatankuasa ini turut dianggotai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, serta Jabatan Hidupan Liar.

Jawatankuasa Pengurusan Ancaman Buaya Kepada Masyarakat DBKK,.

Selain pemasangan CCTV, jawatankuasa ini juga menjalankan kajian anggaran dan bilangan buaya di kawasan bawah seliaan DBKK, memasang tanda amaran buaya di kawasan-kawasan yang dikenal pasti mempunyai kehadiran ancaman buaya serta memantau operasi secara berjadual.

Sejak ditubuhkan secara rasmi pada 30 Januari 2024, dua siri operasi pemantauan telah dilaksanakan bagi mengenal pasti lokasi kehadiran buaya.

Operasi Pemantauan Buaya di Bandaraya Kota Kinabalu Siri 1/2024 telah diadakan pada 29 Februari 2024 hingga 01 Mac 2024,
dengan fokus di Sungai Darau, Sungai Kalansanan, serta beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ kehadiran buaya.

Hasil pemantauan Siri 1 mendapati buaya dikesan di Sungai Darau dan sekitar Bengkel Depoh, DBKK.

Susulan itu, operasi Siri 2/2024 pada 19 hingga 20 Ogos 2024 juga tertumpu di lokasi yang sama (Sungai Darau dan sungai berhampiran Bengkel Depoh, DBKK), selepas rakaman buaya di perairan berhampiran pantai Tanjung Lipat tular di media sosial.

Operasi susulan akan terus diadakan pada setiap suku tahunan yang bertujuan untuk memantau populasi buaya di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

DBKK komited memastikan perairan sekitar ibu negeri sentiasa dipantau melalui kerjasama erat dengan agensi berkaitan, demi menjamin keselamatan penduduk.

Orang awam juga digesa agar segera melaporkan sebarang maklumat kehadiran buaya di perairan Kota Kinabalu kepada pihak berkuasa melalui talian kecemasan yang disediakan:

Talian Kecemasan Kebangsaan: 999

Polis Diraja Malaysia (PDRM): 088-529222

Balai BombaKotaKinabalu: 088-210214/ 019-2445687

Jabatan Hidupan Liar (JHL): 088-213502

Angkatan Pertahanan Awam Sabah: 088-232440

AngkatanPertahanan Awam KotaKinabalu: 088-232453

RELATED ARTICLES
Utama

Dua subjek UMS disenarai terbaik dunia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular