HomeUtamaMarah sampah tidak dibuang, lelaki dipenjara 8 minggu ugut adik

Marah sampah tidak dibuang, lelaki dipenjara 8 minggu ugut adik

Read Time:1 Minute, 18 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan minggu selepas mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap adik perempuannya dalam satu kejadian yang berpunca daripada isu sampah.

Ahmad Hailmy Abd Rahman, 44, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus, hari ini.

Ahmad melakukan kesalahan itu terhadap seorang wanita berusia 40 tahun pada 12 Mac, lebih kurang jam 12.45 tengah malam di Kg. Peringatan, Petagas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, adik tertuduh (pengadu) terdengar tertuduh menjerit dan bertanya apa yang berlaku. Tertuduh marah kerana anak lelaki pengadu tidak membuang sampah.

Pengadu menyatakan itu hanya perkara kecil dan sampah boleh dibuang keesokan pagi, namun tertuduh memarahinya dan berkata: “Kalau kau bukan perempuan, lama sudah aku rembat kau.”

Pada masa yang sama, tertuduh membaling pisau ke arah pengadu, tetapi pengadu sempat mengelak. Tertuduh juga menghentak lesung batu ke atas meja makan.

Suami pengadu berjaya meleraikan keadaan itu dan pengadu membuat laporan polis kerana berasa takut dengan ugutan tersebut.

Tertuduh ditangkap pada 14 Mac.

Hasil siasatan mendapati pengadu dan tertuduh tinggal serumah. Pengadu membawa tertuduh yang baru keluar penjara ke Sabah dari Semenanjung, dengan harapan abangnya akan berubah.

Semasa rayuan, tertuduh menerusi peguamnya meminta hukuman ringan memandangkan ini adalah kesalahan jenayah pertamanya. Tertuduh sebelum ini pernah menjalani hukuman lima tahun penjara dan juga sebatan di Kajang atas kesalahan dadah.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Hamidi Hamzah, mengendalikan kes ini.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkapan.

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Musa berbuka puasa, terawih dengan 5,000 jemaah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular