HomeUtamaPenduduk enam kampung di DUN Pintasan bakal terima geran tanah selepas 40...

Penduduk enam kampung di DUN Pintasan bakal terima geran tanah selepas 40 tahun menanti

Read Time:2 Minute, 12 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Penduduk di enam kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Kota Belud bakal menerima geran tanah selepas lebih 40 tahun penantian.

Ini adalah hasil usaha ADUN Pintasan, Datuk Fairuz Renddan, yang mengambil langkah proaktif menyelesaikan isu ini sejak tahun 2020.

Menurut Fairuz yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan, masalah ini telah berlarutan selama puluhan tahun kerana tanah di kampung-kampung terbabit sebelum ini dikategorikan sebagai tanah rizab, termasuk rizab padang ragut. Hal ini menyebabkan penduduk yang telah lama menetap di kawasan itu tidak dapat memiliki geran secara sah.

“Sejak saya menjadi wakil rakyat, saya menubuhkan satu jawatankuasa pelaksana dan melibatkan pihak berkuasa berkaitan untuk menyemak prosedur mendapatkan geran tanah. Kami mendapati banyak kampung berada dalam status rizab yang menyukarkan penduduk untuk memohon hak milik tanah mereka,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini (17 Mac).

Antara enam kampung yang terlibat adalah Kampung Pantai Mas, Kampung Liang, Kampung Tamau, Kampung Kayu Putih, Kampung Pintasan, dan Kampung Tawadakan.

Fairuz turut menjelaskan bahawa terdapat tiga rekod berbeza berkaitan pemilikan tanah di kawasan berkenaan, dengan banyak tanah dimiliki oleh syarikat luar. Keadaan ini menyebabkan penduduk yang menetap di situ tidak menerima pampasan sewajarnya apabila pembangunan dilakukan.

“Selepas dua tahun usaha dari 2020 hingga 2022, status tanah enam kampung ini berjaya diubah, dengan bantuan pelbagai pihak termasuk bekas Yang di-Pertua Negeri (TYT). Pada penghujung 2023 hingga awal 2024, geran tanah mula diserahkan kepada penduduk, dan setakat ini hampir 400 geran telah diberikan,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa baki geran yang belum diselesaikan akan diberikan sebelum bulan Mei atau Jun tahun ini.

Selain isu geran tanah, Fairuz turut menyentuh mengenai pembangunan di kawasan Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) yang mengalami masalah sama, di mana tanah yang diduduki penduduk sejak lama tiba-tiba didaftarkan sebagai milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan individu tertentu.

Beliau juga mendedahkan bahawa Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) bakal diperluaskan ke kawasan Kota Belud, termasuk sebahagian tanah di kawasan Pintasan. Ini dijangka membuka peluang ekonomi baharu bagi penduduk setempat.

Selain itu, beberapa syarikat besar turut menunjukkan minat untuk melabur di kawasan Pintasan, termasuk Gardenia yang sedang meneliti lokasi sesuai untuk membuka kilangnya. Namun, masih terdapat isu berkaitan pemilikan tanah yang perlu diselesaikan sebelum projek itu dapat diteruskan.

“Saya harap KKIP di kawasan Pintasan ini tidak menjadi ‘land bank’ yang terbiar 20-30 tahun. Kita mahu ia segera dibangunkan untuk manfaat penduduk setempat,” katanya.

Dalam pada itu, Fairuz turut mempromosikan produk tempatan dari kawasan Pintasan, termasuk ikan Liking yang terkenal di Pantai Mas.

Beliau berharap pembangunan yang dirancang dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk tempatan sambil mengekalkan keunikan budaya dan sumber semula jadi kawasan tersebut.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua subjek UMS disenarai terbaik dunia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular