Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU ((KEMASKINI)) : Empat daripada 15 individu yang didakwa berkaitan dengan kumpulan jenayah terancang Geng Upik dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Mereka ialah Mahathir Jibarail, 49, Manan Ungok @ Salleh, 52, Mohd Faridzul Asmahadi, 32 dan Mohd Fikrie Asme, 29.
Hakim Datuk Dr. Lim Hock Leng menjatuhkan hukuman itu selepas keempat-empat tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 130W Kanun Keseksaan kerana telah membantu kumpulan jenayah terancang Geng Upik, yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Kesalahan itu dilakukan antara tahun 2015 hingga 2023. Seksyen 130W memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.
Sebelum ini keempat-empat tertuduh pada mulanya didakwa dengan 11 orang lagi individu sebagai ahli kumpulan jenayah terancang Geng Upik sejak tahun 2015 hingga 2023.
Tertuduh lain ialah Datuk Maslan Sani, 41; Fazrul Bahar, 32; Norsyafilah Pawawoi, 27; Shahlan Shah Abdul Samad, 37; Zulkahar Dusing, 38; Nelson Yen Yee Chung, 46; Alkan Abraham, 35; Rahman Burijin, 44; Jaisalfian Jaineh @ Zaini, 45; Mohd Fauzie Rablin, 33; dan Mazlan Mahmud, 41.
Pertuduhan asal adalah di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan berikutan risikan terhadap kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai “Geng Upik”, yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah berbahaya.
Hasil siasatan yang dijalankan mendapati tertuduh telah membantu Geng Upik dalam kegiatan pengedaran dadah di Sabah bagi mencapai kepentingan kumpulan tersebut, untuk memperoleh faedah material.
Hasil siasatan juga mendapati Geng Upik telah terlibat dalam pengedaran dadah berbahaya dalam beberapa kes jenayah serius termasuklah rampasan 4.6kg methamphetamine di Manggatal dan rampasan 53kg methamphetamine di Tawau.
Satu lagi tangkapan membawa kepada sabitan kesalahan seorang ahli kumpulan, Syafilah Pawawoi, yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, manakala seorang lagi ahli kumpulan, Zulkahar Dusing, turut ditangkap dan kini sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Tawau.
Kedua-dua kes tersebut melibatkan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mahkamah memerintahkan keempat-empat tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap.
Manan ditangkap pada 7 Januari 2025, manakala Faridzul dan Mahathir ditahan pada 25 Disember 2023. Sementara itu, Mohd Fikri ditangkap pada 12 Oktober 2023.
Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nazran Mohd Sham, Lina Hanini Ismail, Siti Hajar Mat Radzi, dan Nur Ainaa Ridzwan.
Mahathir, Manan dan Mohd Faridzul diwakili oleh peguam Shahlan Jufri manakala Mohd Fikrie diwakili oleh peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.