HomeUtamaJalan Kimanis-Keningau dijangka dibuka dalam tempoh terdekat

Jalan Kimanis-Keningau dijangka dibuka dalam tempoh terdekat

Read Time:1 Minute, 17 Second

Keningau: Jalan Kimanis – Keningau yang ditutup awal bulan ini berikutan kejadian tanah runtuh dijangka akan dibuka semula dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, bagaimanapun pembukaan semula laluan menghubungkan Kimanis dengan Keningau itu bergantung kepada keadaan cuaca.

Beliau berkata, jangkaan pembukaan semula laluan berkenaan adalah berdasarkan kerja pembersihan tanah runtuh di dua lokasi yang sudah hampir siap.

“Kalau melihat kepada prestasi kemajuan kerja semasa saya menjangkakan kerja-kerja pembersihan dan pemotongan cerun-cerun yang terlibat boleh siap dalam tempoh dua hingga tiga hari daripada sekarang.

“Namun, ia juga tertakluk kepada keadaan cuaca, pada petang ini cuaca sedikit berhujan, tapi kerja-kerja pembersihan dan pembaikan dapat dijalankan,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di dua lokasi iaitu di Kilometer 11.2 dan Kilometer 14.3 Jalan Kimanis – Keningau di sini tengah hari tadi.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, selain kerja pembersihan dan pembentukan cerun, pihak kontraktor juga akan memasang penghadang jalan untuk memastikan keselamatan pengguna apabila dibuka nanti.

“Di Kilometer 14 juga ada satu jalan sementara yang sudah siap dibina tetapi ia hanya sesuai untuk kenderaan ringan saja.

“Jadi, saya nasihatkan kepada orang awam untuk menunggu notis daripada JKR Sabah apabila jalan ini sudah sedia untuk dibuka kepada pengguna,” katanya.

Katanya, pihak kontraktor turut berusaha untuk menyiapkan kerja pembersihan secepat mungkin yang dilaksanakan setiap hari dari pagi hingga lewat petang.

“Saya agak berpuas hati dengan kemajuan kerja ini setelah jalan ini ditutup hampir atau lebih 10 hari yang lepas,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Bebas dakwaan berkaitan ganja, bapa mahu ziarah kubur anak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular