KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Mitsubishi Triton dalam kejadian di Jalan Lintas berhampiran Iramanis, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.55 petang itu, mangsa dikatakan sedang menyeberangi jalan dari arah kiri ke kanan sebelum dirempuh kenderaan terbabit yang dipandu seorang lelaki berusia 20-an.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata siasatan awal mendapati pemandu kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari Kolombong menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
“Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa tiba-tiba melintas jalan menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggarnya. Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke hadapan sebelum jatuh ke atas jalan raya.
“Pegawai perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemandu kenderaan terbabit turut mengalami kesakitan di bahagian dada dan telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) untuk mendapatkan rawatan.
Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pejalan kaki ketika melintas jalan. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, ACP Kasim menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya, sama ada sebagai pemandu atau pejalan kaki.
“Pemandu perlu sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, manakala pejalan kaki disaran memastikan keadaan selamat sebelum melintas jalan,” katanya.