HomeUtamaSabah hargai pengorbanan pasukan keselamatan, petugas kesihatan

Sabah hargai pengorbanan pasukan keselamatan, petugas kesihatan

Read Time:1 Minute, 21 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri mengiktiraf kepentingan pasukan keselamatan dan petugas kesihatan, terutama pengorbanan mereka dalam memastikan keamanan dan ketenteraman awam di Sabah selama ini.

Ketua Menteri  Datuk Seri Hajiji Noor berkata petugas barisan hadapan mempertaruhkan nyawa mereka setiap hari untuk melindungi rakyat dan negeri.

Katanya, beberapa bencana alam telah menjejaskan negeri ini sejak beberapa tahun lalu termasuklah banjir yang berlaku di beberapa buah daerah pada awal tahun ini.

Antaranya di Kota Marudu, Kota Belud, Telupid, Pitas, Beluran, Lahad Datu, Sandakan, Beaufort, Tongod dan Paitan.

“Malah, maklumat terkini dari Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan bahawa fenomena hujan berterusan akan bermula dari 18 Mac hingga 21 Mac di Sabah, Sarawak dan selatan Semenanjung.

“Selain banjir, terdapat juga bencana kebakaran tahun ini di Likas yang mengakibatkan 80 keluarga kehilangan tempat tinggal.

“Semasa bencana ini, petugas barisan hadapan kita, terutamanya badan beruniform, pasukan keselamatan dan petugas kesihatan telah melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa mengenal penat lelah untuk menyelamatkan nyawa. Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian kuih muih Hari Raya Aidilfitri kepada barisan hadapan di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Hajiji berkata penyampaian kuih muih Hari Raya itu sangat bermakna kerana ia menandakan penghargaan Kerajaan Negeri terhadap pengorbanan petugas barisan hadapan.

“Ia menjadi lebih bermakna kerana majlis ini diadakan semasa bulan Ramadan. Anggaplah sumbangan ini sebagai suatu simbol dari rakyat Sabah bagi menghargai jasa anggota keselamatan dan petugas kesihatan yang bertugas semasa perayaan dan menjadi motivasi untuk terus memberikan perkhidmatan dengan dedikasi,” tambahnya.

Hajiji kemudiannya telah menerima barang raya yang disumbangkan oleh 33 kementerian, jabatan dan GLC sebelum menyerahkannya kepada 15 pasukan keselamatan dan pekerja kesihatan. – SABAH MEDIA 

RELATED ARTICLES
Utama

NGO perlu bantu memperkasa peranan wanita – Azizah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular