Oleh FLORIETA DIET
SANDAKAN: Tiga buah rumah di Kampung Sim-Sim dekat sini mengalami kerosakan akibat angin puting beliung yang melanda pada petang Isnin. (17 Mac)

Salah sebuah rumah yang mengalami kerosakan paling teruk didiami oleh Intan Elfyrza, 23, dan keluarganya.

Menurutnya, ketika kejadian dia dan ibunya sedang membuat kuih raya sebelum terpaksa berhenti apabila angin kencang mula menggoncang rumah mereka.
“Kami sedang menyiapkan tempahan kuih raya pelanggan di dapur apabila atap mula berbunyi kuat. Saya dan ibu segera mematikan api dapur dan berlari ke ruang tamu. Dalam sekelip mata, sebahagian atap rumah diterbangkan angin,” katanya.
Akibat kejadian itu, mereka bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, tetapi juga mengalami kerugian apabila peralatan dan bahan untuk membuat kuih turut terjejas, menyebabkan mereka tidak dapat menyiapkan tempahan pelanggan.
Pada pagi Selasa, Intan dan keluarganya telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut sebagai langkah dokumentasi untuk sebarang bantuan dan tindakan selanjutnya.
Buat masa ini, mereka menumpang di rumah saudara sementara menunggu proses membaiki rumah yang rosak.
Sementara itu, pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam kenyataannya semalam mengesahkan tiada kemalangan jiwa dalam kejadian tersebut dan pemantauan lanjut akan terus dijalankan.
Kejadian puting beliung telah merosakkan rumah lot 46 di Jambatan 4, lot 87 dan lot 79A di laluan Jambatan 5.
Rumah-rumah tersebut, yang terletak di atas air, terkesan teruk akibat angin kencang yang disertai hujan lebat.