PENAMPANG: Polis telah mengenal pasti tiga individu yang memandu kenderaan terlibat dalam insiden pemanduan berbahaya di Jalan Penampang-Tambunan selepas rakaman video kejadian itu tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, berkata video berdurasi 27 saat itu menunjukkan tiga kenderaan memotong sebuah lori di selekoh garisan berkembar, menyebabkan kenderaan dari arah bertentangan terpaksa berhenti bagi mengelak kemalangan.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 16 Mac 2025 sekitar jam 1.41 petang. Ketiga-tiga pemandu telah berjaya dikesan dan kenderaan yang digunakan semasa kejadian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 jika sabit kesalahan.
Polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Amrin Mohamad Arif di talian 017-6638278.
Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, bersabar, dan mematuhi undang-undang lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.