Oleh ERDIE AB WAHID
Beaufort : Sebanyak 24 buah sekolah melibatkan enam buah daerah di Sabah dilaporkan terjejas dengan banjir berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata, antara daerah terlibat adalah di Beluran; Sandakan; Lahad Datu; Kota Marudu; Kudat dan Kota Belud manakala sebuah premis sekolah di Paitan dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Katanya, daripada jumlah itu sebanyak lima buah sekolah di Beluran masih beroperasi namun kehadiran murid terjejas selain beberapa laluan ke sekolah terlibat terputus hubungan.

Antara sekolah terjejas adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sualok; SK Batition; SK Sg Sapi; Sk Perancangan dan SK Bawang K9.
“Manakala di Sandakan, sebanyak tujuh buah sekolah melibatkan enam SK dan satu sekolah menengah turut terjejas. Antaranya ialah SK Labuk Subur; SK Pertanian; SK Batu 16 Gum-Gum; SK Ladang Sandak; SK Gas; SK Tanjung Papat 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Fajar.
“Turut dilaporkan terjejas banjir adalah di Lahad Datu melibatkan dua sekolah iaitu SK Ulu Tungku dan SK Lahad Datu III. Manakala sebanyak tujuh sekolah di Kota Marudu turut terjejas antaranya adalah di SK Masalog dan SK Sampir.
“Selain itu turut terjejas di Kota Marudu adalah di SK Bintasan; SK Langkon; SK Tagaroh; SK Taritipan dan SMK Langkon,” katanya kepada Sabah Media di sini hari ini.
Raisin berkata, dua lagi sekolah di Kudat iaitu SK Matunggong dan SK Lotong selain satu di Kota Belud iaitu SK Timbang turut dilaporkan terjejas banjir hari ini.
“SMK Pamol di Paitan pula dijadikan sebagai PPS dan hanya seorang murid ditempatkan di PPS berkenaan selain beberapa keluarga lain,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO SK TIMBANG KOTA BELUD