Oleh Wan Azrain Adnan
KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti terbaik di Malaysia dengan pencapaian cemerlang dalam ranking QS World University Rankings 2025. UM berada di tangga ke-60 universiti terbaik dunia dan menjadi universiti tempatan dengan jumlah kursus terbanyak dalam ranking tersebut, dengan 20 daripada 46 kursusnya berada dalam kelompok 100 teratas dunia.
Sebagai perbandingan, dua universiti dari Singapura, National University of Singapore (NUS) dan Nanyang Technological University (NTU), masing-masing berada di tangga ke-8 dan ke-15 terbaik dunia. Pencapaian UM ini mencerminkan komitmennya terhadap kecemerlangan akademik dan penyelidikan, namun masih ada cabaran besar yang perlu diatasi.
Kategori | Universiti | Jumlah | |
Universiti Penyelidikan | Memberi tumpuan kepada bidang penyelidikan | Universiti MalayaUniversiti Kebangsaan MalaysiaUniversiti Teknologi MalaysiaUniversiti Sains MalaysiaUniversiti Putra Malaysia | 5 |
Universiti Komprehensif | Menawarkan pelbagai kursus dan bidang pengajian | Universiti Teknologi MARAUniversiti Islam Antarabangsa MalaysiaUniversiti Malaysia SabahUniversiti Malaysia Sarawak | 4 |
Universiti Berfokus | Memberi tumpuan kepada bidang khusus berkaitan dengan penubuhannya seperti teknikal, pendidikan, pengurusan dan pertahanan | Universiti Utara MalaysiaUniversiti Pendidikan Sultan IdrisUniversiti Tun Hussein Onn MalaysiaUniversiti Teknikal Malaysia MelakaUniversiti Malaysia PerlisUniversiti Malaysia TerengganuUniversiti Malaysia PahangUniversiti Sains Islam MalaysiaUniversiti Sultan Zainal AbidinUniversiti Malaysia KelantanUniversiti Pertahanan Nasional Malaysia | 11 |
Cabaran Ranking Universiti Awam
Selain QS World University Rankings, Times Higher Education Ranking 2025 turut meletakkan UM sebagai satu-satunya Universiti Awam tempatan dalam kelompok 251–300 universiti terbaik dunia. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula berada dalam kelompok 401–500.
Menurut data Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Malaysia mempunyai 20 Universiti Awam yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu Universiti Penyelidikan, Universiti Komprehensif, dan Universiti Berfokus. UM bersama empat universiti lain iaitu UKM, UTM, USM, dan Universiti Putra Malaysia (UPM) diklasifikasikan sebagai Universiti Penyelidikan.
Prestasi Kewangan Mengecewakan

Namun, di sebalik kejayaan akademik, Laporan Ketua Audit Negara 1/2025 (LKAN 1/2025) membongkar kelemahan pengurusan kewangan beberapa Universiti Awam. UiTM, sebagai penerima geran terbesar sebanyak RM2.826 bilion pada 2023, mencatatkan kerugian operasi sebanyak RM0.212 bilion. Begitu juga dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan UPM yang masing-masing mengalami kerugian RM0.141 bilion dan RM0.128 bilion.
Selain itu, tiga universiti – UMS, UPM, dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) – disenaraikan antara lima agensi persekutuan dengan kerugian tertinggi sepanjang tempoh 2021–2023, dengan jumlah kerugian terkumpul mencecah RM708.45 juta.
Isu Pengurusan Dana Penyelidikan

Dalam pada itu, isu pengurusan Dana Penyelidikan Fundamental (DPF) turut mencuri tumpuan. melalui projek penyelidikan yang di laksanakan oleh 5 Universiti Penyelidikan berkenaan, majoriti (61.2%) berada pada tahap Kurang Memuaskan (53.9%) dan Bermasalah (7.3%), melibatkan 1,270 projek bernilai RM 171.73 juta.
UTM telah merekodkan tahap kemajuan projek Kurang Memuaskan tertinggi (83.8%: 263 projek: RM 23.42 juta). Manakala UKM pula telah merekodkan tahap kemajuan projek Bermasalah tertinggi (16.5%: 111 projek: RM 13.24 juta).
Sebaliknya, USM telah merekodkan tahap kemajuan projek Baik tertinggi (37%: 206 projek: RM 31 juta).
Tambahan lagi, LKAN 1/2025 melaporkan bahawa daripada 1,668 projek DPF yang telah tamat bagi tempoh masa 2021 – 2023, 42.1% (702 projek) belum mencapai KPI yang telah di tetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
UPM telah merekodkan pencapaian KPI terburuk, di mana 85.1% projek belum mencapai KPI. UTM pula merekodkan pencapaian KPI tertinggi (95.4%).
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi bagaimanapun menegaskan bahawa universiti bukan entiti perniagaan dan istilah kerugian serta defisit tidak seharusnya digunakan dalam konteks pendidikan. Menurut beliau, geran kerajaan hanya merangkumi 80% keperluan dan universiti digalakkan menjana pendapatan sendiri bagi menampung baki 20%.
Langkah Penambahbaikan
Para pemerhati berpendapat bahawa universiti perlu meningkatkan pengurusan kewangan dan penyelidikan agar lebih mampan. Menjana pendapatan melalui projek komersial, sumbangan dana dari alumni dan korporat, serta pengurusan penyelidikan yang lebih cekap adalah kunci untuk memperkukuh kedudukan universiti di peringkat global.
Penyelidikan yang dihasilkan juga perlu lebih relevan dan dapat dikomersialkan bagi menyelesaikan isu dan cabaran negara. Dengan meningkatkan daya saing dan kebolehan menjana pendapatan, universiti tempatan boleh menjadi pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.