Kuala Lumpur : Fasa peralihan monsun dijangka akan bermula pada 25 Mac ini dan berterusan sehingga Mei depan dan ia menandakan fasa berakhirnya Monsun Timur Laut 2024/25 yang telah melanda negara sejak 5 November 2024.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Mohd Hisham Mohd Anip berkata, semasa fasa peralihan monsun, negara akan mengalami tiupan angin lemah dari pelbagai arah.
Katanya, keadaan ini berpotensi menggalakkan pembentukan awan ribut petir yang boleh membawa hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang singkat, terutamanya pada waktu petang dan awal malam.
“Kawasan yang dijangka terjejas termasuk bahagian barat dan pedalaman Semenanjung serta bahagian barat Sabah dan Sarawak.
“Fenomena cuaca ini berisiko menyebabkan kejadian banjir kilat dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hisham berkata, masyarakat boleh mendapatkan maklumat terkini melalui laman web rasmi MET Malaysia, aplikasi mobil myCuaca, dan media sosial rasmi Jabatan.
Selain itu katanya, sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan dengan menghubungi Hotline Jabatan di nombor 1-300-22-1638.
Pihaknya turut menegaskan pentingnya kesedaran awam dalam menghadapi perubahan cuaca yang tidak menentu ini.
“Kami menggesa orang ramai untuk sentiasa peka dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya. – SABAH MEDIA