KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan komitmennya dalam menyelesaikan isu rakyat dengan langkah penyelesaian jangka panjang, bukan sekadar retorik politik.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan negeri terus bekerja keras menangani cabaran yang diwarisi sejak sekian lama, termasuk isu jalan raya, bekalan air dan elektrik.
Beliau mengulas kritikan yang dibuat oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang mendakwa GRS gagal mengatasi masalah asas rakyat. Namun, menurut Nizam, banyak isu yang dibangkitkan telah wujud sebelum ini, termasuk ketika Bung Moktar memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya Sabah dari 2020 hingga 2023.
“Sebagai bekas Menteri Kerja Raya, beliau sepatutnya lebih memahami cabaran yang dihadapi Sabah. Persoalannya, apa yang telah dilakukan dalam tempoh beliau berkuasa? Adakah masalah jalan berlubang, bekalan air dan elektrik ini baru wujud selepas GRS mengambil alih?” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Menurut beliau, kerajaan Sabah telah mengambil langkah proaktif untuk memastikan kemajuan berterusan, antaranya projek hidroelektrik Ulu Padas di Tenom yang akan mengurangkan kebergantungan kepada loji janakuasa diesel.
Selain itu, inisiatif seperti Projek Loji Rawatan Air Telibong II Fasa 2 di Tuaran serta penambahbaikan sistem paip dan tangki simpanan sedang giat dilaksanakan bagi meningkatkan bekalan air bersih di negeri itu.
Dalam sektor infrastruktur, kerajaan Sabah turut memberi tumpuan kepada pembinaan Lebuhraya Pan Borneo serta projek naik taraf jalan luar bandar yang bertujuan memperbaiki akses ke kawasan pedalaman.
“GRS akan terus komited untuk membawa pembangunan dan menyelesaikan isu rakyat. Sabah memerlukan kepimpinan yang berani bertindak, bukan sekadar berpolitik menjelang pilihan raya,” tegasnya.