Kota Kinabalu: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah meningkat kepada 227 orang melibatkan 59 keluarga setakat jam 12 tengah hari tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak tiga daerah dilaporkan terjejas banjir setakat ini.
Antara yang dilaporkan terjejas adalah di Beluran, Sandakan dan Paitan.
Di Sandakan, seramai 132 mangsa melibatkan 32 keluarga dipindahkan ke tiga buah PPS yang diaktifkan sejak semalam.
Antara PPS yang diaktifkan adalah di Masjid Nur Hidayah Kampung Garinono Batu 25; Masjid Nur Iman Kampung Sungai Memanjang dan Masjid Nurul Iman Kampung Pertanian.
Manakala di Beluran, sebanyak 92 mangsa melibatkan 26 keluarga dipindahkan ke dua PPS iaitu di Dewan Kampung Balaban Jaya dan Dewan Kampung Sungai Nangka.
Di Paitan pula, sebanyak tiga mangsa melibatkan sebuah keluarga dipindahkan ke PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pamol.
“Trend pemindahan mangsa banjir di daerah terlibat meningkat manakala dan amaran hujan berterusan tahap waspada di negeri Sabah sehingga 21 Mac 2025 melibatkan Pantai Timur dan Utara,” menurut kenyataan itu di sini. – SABAH MEDIA / FOTO APM SABAH