Tawau : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot kargo tempatan yang sarat dengan muatan barang runcit dan barang kawalan di kedudukan 2.2 batu nautika selatan Tanjung Batu, sekitar jam 6 petang Selasa lalu.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam operasi yang dijalankan pihaknya telah berjaya mengesan pergerakan bot kargo tersebut sedang bergerak dari arah Jeti Makmur menuju ke Pulau Sebatik.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati bot kargo tersebut dikendalikan oleh seorang juragan lelaki warga tempatan berusia 30 tahun bersama seorang pembantu juga lelaki warga Indonesia berusia 25 tahun di atas bot tersebut.

“Pemeriksaaan dokumentasi seterusnya mendapati juragan gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan yang dibawa dan hanya mempunyai dokumen pengikraran barangan runcit ke Pulau Sebatik.
“Juragan seterusnya ditahan bersama bot kargo dan muatan barang kawalan serta diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.
“Hasil penggeledahan ke atas bot kargo tersebut telah menemukan sejumlah 2,110 kilogram gula pasir serta 820 kilogram minyak masak berpaket di dalam bot kargo tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shahrizan berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, kesemua barangan kawalan termasuk bot kargo dan enjin bot disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM40,000.
Menurutnya, siasatan juga akan dijalankan ke atas unsur penyeludupan ke negara jiran berikutan permintaan pada musim perayaan.
“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah(ESSZONE).
“Kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang- undang negara sentiasa dipatuhi.
“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA