Kota Kinabalu : Seramai 12 pelajar Politeknik Kota Kinabalu (PKK) yang memerlukan dan terjejas dengan kebakaran di Kampung Cempaka Likas baru-baru ini menerima sumbangan zakat wakalah dari Celcom Timur Sabah (CT Sabah).
Penyerahan sumbangan yang berlangsung di Jabatan Hal Ehwal PKK itu disempurnakan Pengurus Sumber Manusia, Pentadbiran dan Pematuhan CT Sabah, Zaiton Yunus disaksikan Timbalan Pengarah Akademik PKK, Abdul Razak Mohd Daim dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PKK, Muhammadin Mohd Jair.

Zaiton berkata, selain membantu pelajar PKK, usaha ini adalah untuk mengukuhkan hubungan strategik yang lebih jitu bersama PKK.
“PKK merupakan rakan strategik CT Sabah, oleh itu kami komited untuk memastikan manfaat dan kebajikan diutamakan secara langsung dapat mempromosikan kebaijkan sosial dan aktiviti amal,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Zakat Wakalah CT Sabah Kasma Amir berkata selain untuk mendapat keberkatan bulan ramadan, pihaknya berharap agar zakat wakalah itu dapat dimanfaatkan oleh pelajar sepanjang pengajian selain meringankan beban pelajar untuk menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri kelak.
Manakala Abdul Razak turut merakamkan penghargaan kepada CT Sabah dan berharap untuk memberikan sokongan yang berterusan kepada PKK dalam melahirkan graduan TVET yang berkualiti dan berdaya saing. – SABAH MEDIA / FOTO PKK