Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Seorang ayah dijatuhi hukuman penjara 13 tahun beserta 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya yang berusia 14 tahun.
Juruteknik berusia 40 tahun itu mengaku bersalah di hadapan hakim Noor Hafizah Mohd Salim terhadap dua pertuduhan yang dibacakan kepadanya.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara lapan tahun serta 10 sebatan kerana merogol anaknya pada Februari 2025, pada waktu malam, di ruang tamu sebuah kediaman dalam daerah Papar.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 10 kali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman di bawah seksyen yang sama dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta tersebut.
Tertuduh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anaknya pada masa dan tempat yang sama mengikut Seksyen 14(a).
Disebabkan hubungan antara tertuduh dan mangsa, hukuman tambahan dikenakan, di mana mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun serta dua sebatan mengikut Seksyen 16(1).
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara dijalankan secara berasingan bermula dari tarikh penangkapan tertuduh pada 16 Mac 2025.
Tertuduh juga diperintahkan untuk menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan akan diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas dibebaskan dari penjara.
Berdasarkan fakta kes, mangsa, pada awal bulan Februari 2025, mangsa telah balik ke rumah tersebut selama seminggu semasa cuti sekolah Tahun Baru Cina. Dalam masa seminggu tersebut, mangsa telah tidur di ruang tamu rumah tempat kejadian.
Akibat perbuatan tertuduh terhadap mangsa, mangsa mengalami kemurungan dan berasa tertekan. Mangsa kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian itu, yang akhirnya membawa kepada penangkapan ayahnya.
Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta hukumannya diringankan. Tertuduh yang mempunya lima orang anak berkata dia telah insaf dan menyesal dengan perbuataanya. Dia juga berharap dapat berjumpa dengan keluarga dan anaknya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Eugenie A. Gilbert memohon agar hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh, mengambil kira keseriusan kes tersebut yang melibatkan anak kandungnya.
“Tertuduh telah menyebabkan penderitaan berpanjangan kepada mangsa serta menghancurkan harga dirinya. Oleh itu, selain hukuman penjara, hukuman sebatan wajar dikenakan sebagai langkah pencegahan terhadap tertuduh dan amaran kepada bakal pelaku jenayah seksual agar tidak mengulangi kesalahan yang sama.
“Mahkamah perlu menunjukkan ketegasan serta mengakui bahawa kesalahan seperti ini adalah amat serius. Individu yang melakukan jenayah sebegini harus menerima hukuman paling berat. Mahkamah juga mempunyai tanggungjawab untuk melindungi masyarakat daripada ancaman jenayah seperti ini, yang boleh membahayakan dan mengganggu keharmonian sosial,” katanya.
Seksyen 14 (a) memperuntukkan hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.
Manakala Seksyen 16 (1) memperintukkan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan boleh juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada dua sebatan.