Kota Kinabalu : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Sabah, dengan hujan lebat dijangka berlaku selama dua hari sehingga esok.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, kawasan dijangka terjejas ialah Sandakan melibatkan Telupid, Kinabatangan dan Beluran serta Kudat.
“Amaran dikeluarkan bagi membolehkan penduduk di kawasan terlibat bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk risiko banjir dan gangguan perjalanan,” menurut kenyataan itu.
MetMalaysia menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta mendapatkan maklumat terkini di laman sesawang www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, dan media sosial rasmi MetMalaysia. – SABAH MEDIA