KOTA KINABALU: Dalam semangat kebajikan dan keprihatinan sepanjang bulan Ramadan, Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) telah menganjurkan program khidmat komuniti di Rumah Warga Tua Sri Pritchard Kinarut, kelmarin.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) IDS yang bertujuan memperkukuh nilai murni serta menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan kakitangannya.
Sebagai sebuah institusi penyelidikan yang bukan hanya menumpukan kepada pembangunan dasar tetapi juga kesejahteraan sosial, IDS memainkan peranan penting sebagai pelopor dalam memperkasakan jaringan komuniti.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kebajikan warga emas, memperkasakan nilai kerja berpasukan dalam kalangan kakitangan IDS serta memberi sokongan moral dan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Inisiatif ini juga sejajar dengan nilai kemanusiaan yang ditekankan sepanjang bulan Ramadan, di mana masyarakat digalakkan untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik.
Diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, pasukan IDS disambut mesra oleh pihak rumah kebajikan sebaik tiba di Rumah Warga Tua Sri Pritchard Kinarut.
Para sukarelawan IDS kemudiannya dibahagikan kepada beberapa pasukan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti khidmat komuniti.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk gotong-royong bagi memastikan kebersihan dan keselesaan kawasan sekitar serta bahagian dalam bangunan, perkhidmatan penjagaan diri seperti menggunting rambut bagi penghuni rumah kebajikan, serta pelbagai aktiviti interaktif yang menceriakan suasana dan mengeratkan hubungan antara sukarelawan dan warga emas.
Sebagai tanda keprihatinan, IDS turut menyampaikan sumbangan berupa barangan penjagaan diri dan makanan kepada penghuni sebelum mengakhiri lawatan pada hari tersebut.
Menurut Dr. Ramzah, program ini bukan sekadar inisiatif kebajikan, tetapi juga usaha IDS dalam mengeratkan hubungan dengan masyarakat.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan holistik bukan hanya tertumpu kepada dasar dan ekonomi, tetapi juga kepada kesejahteraan sosial.
IDS komited untuk terus memainkan peranan dalam memperkukuh jaringan komuniti serta menanam nilai-nilai keprihatinan dalam kalangan kakitangan.
Beliau turut menekankan bahawa bulan Ramadan adalah masa yang sesuai untuk menghulurkan bantuan dan menyemai kasih sayang kepada mereka yang memerlukan, khususnya warga emas yang sering terpinggir.
Program ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak berkepentingan dalam sektor kebajikan. Antara yang hadir ialah Pegawai Penguasa, Jahidi Sahibin, Timbalan Pengetua Sekolah Tunas Bakti Kota Kinabalu, Hajan Salam, serta Pasukan Sukarelawan IDS yang turut serta dalam aktiviti kesukarelawanan.
Kehadiran mereka mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kerjasama antara institusi penyelidikan, badan kebajikan, dan masyarakat bagi mewujudkan ekosistem sosial yang lebih inklusif.
Melalui inisiatif ini, IDS berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih banyak organisasi untuk turut serta dalam aktiviti kebajikan serta menyemarakkan semangat kesukarelawanan dalam masyarakat.
Usaha ini bukan sahaja dapat membantu golongan yang memerlukan, malah dapat memperkukuh budaya keprihatinan sosial di Sabah.