Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Dua bekas pengarah syarikat pelaburan, masing-masing berdepan 10 pertuduhan menipu dan 10 pertuduhan bersubahat, dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Majistret hari ini berhubung pelaburan forex berjumlah RM457,735.50.
Azlin Awang Chee, 44, dan Mohd Hasanul Isyraf Mohammad Rejab, 39, sepatutnya dibicarakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus hari ini.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa Pejabat Peguam Negara telah mengarahkan semakan semula terhadap semua pertuduhan ke atas kedua-dua tertuduh dan memohon penangguhan kes.
Peguam Azhier Farhan Arisin dan Hamid Ismail, yang masing-masing mewakili Azlin dan Mohd Hasanul, membantah penangguhan itu dengan alasan semakan sepatutnya dilakukan sebelum perbicaraan. Mereka juga berhujah bahawa kes ini sesuai untuk mahkamah menggunakan budi bicaranya bagi memberikan DNAA.
Mahkamah kemudian membuat perintah DNAA kepada kedua-dua tertuduh bagi semua pertuduhan.
Azlin didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan, serta denda jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan pertama hingga ke-10, Azlin didakwa menipu 10 individu dengan memperdaya mereka bahawa mereka untuk mempercayai bahawa mereka akan mendapatkan pulangan lumayan dalam pelaburan forex matawang asing (Prixo Markets).
Dia didakwa mendorong kesemua mangsa menyerahkan wang berjumlah antara RM2,700 hingga RM192,672.50 antara tahun 2020 hingga 2021 di beberapa lokasi berbeza di sini.
Sementara itu, Mohd Hasanul didakwa bersubahat dalam melakukan jenayah tersebut mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 420 akta yang sama.