HomeUtamaKonvensyen Pendidikan Ke-29 dan Persidangan Agung PGBM bakal himpunkan 3,000 peserta di...

Konvensyen Pendidikan Ke-29 dan Persidangan Agung PGBM bakal himpunkan 3,000 peserta di Sabah

Read Time:1 Minute, 41 Second

Oleh FLORIETA DIET

KOTA KINABALU: Sabah bakal menghimpunkan lebih 3,000 peserta dalam Konvensyen Pendidikan Ke-29 dan Persidangan Agung Perwakilan Kali Ke-3 Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) 2025.

Konvensyen ini yang akan berlangsung dari 16 hingga 18 Julai di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini bertujuan untuk memperkasa sistem pendidikan negara dengan mengangkat peranan serta kepimpinan Guru Besar dalam membentuk masa depan pendidikan.

Para peserta akan berpeluang berkongsi strategi dan amalan terbaik dalam kepimpinan pendidikan melalui pelbagai sesi forum, bengkel, dan ceramah yang menampilkan pakar-pakar dalam bidang pendidikan, kepimpinan, dan pembangunan profesional.

Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia Sabah, Nordin Mohd Taip, dalam kenyataannya berkata, beliau mengalu-alukan kesemua ahli persatuan dari seluruh negara untuk bertandang ke Sabah sempena acara ini.

“Selain menghadiri konvensyen yang sarat dengan ilmu dan perbincangan bermanfaat, ini juga merupakan peluang terbaik untuk membawa keluarga bercuti dan menikmati keindahan Sabah,” katanya.

Majlis perasmian konvensyen ini dijangka akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor akan hadir sebagai tetamu kehormat.

Konvensyen ini juga mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah serta kerjasama dengan Malaysia Aviation Group, yang menawarkan diskaun istimewa untuk peserta.

“Peserta boleh menikmati diskaun sehingga sepuluh peratus untuk tempahan tiket penerbangan Malaysia Airlines dan hingga 15 peratus untuk Firefly dari 15 Mac hingga 25 Julai 2025.

Selain itu, Malaysia Hotel Association Sabah Chapter turut bekerjasama menyediakan penginapan untuk para peserta.

“Bukan sekadar konvensyen pendidikan, para peserta juga akan berpeluang untuk meneroka keindahan Sabah dengan pakej pelancongan eksklusif yang disediakan oleh SabahTravel.com.

“Peserta dapat menjadikan acara ini sebagai ‘Konvensyen and Vacation’, di mana mereka bukan sahaja mendapat manfaat daripada sesi pembelajaran, tetapi juga berpeluang menikmati keunikan budaya dan alam semula jadi Sabah,” katanya.

Pendaftaran untuk konvensyen ini telah dibuka bermula 10 Mac lalu dan boleh dilakukan melalui pautan Sabah Travel di https://www.sabahtravel.com/sabah-travel-pgbm.

Mereka yang berminat disarankan untuk mendaftar lebih awal bagi memastikan penyertaan mereka dalam acara penting ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Impian penduduk miliki geran tanah tercapai selepas lebih 30 tahun menanti

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular