HomeUtamaKPDN Sandakan terus pantau harga barangan sepanjang musim perayaan

KPDN Sandakan terus pantau harga barangan sepanjang musim perayaan

Read Time:1 Minute, 52 Second

Sandakan : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasan bagi memastikan harga barangan di pasaran berpatutan sepanjang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Sandakan Azdy Zukkry John berkata, pihaknya telah melaksanakan pemeriksaan di bazar Ramadan sekitar daerah itu meliputi bazar Ramadan sekitar bandar dan luar bandar bermula awal bulan ini.

Katanya, dalam tempoh itu, pihaknya telah melaksanakan pemeriksaan sebanyak 370 jumlah pemeriksaan ke atas peniaga bazar terlibat.

”KPDN telah melaksanakan Ops Pantau 2025 mulai 2 Mac lalu seperti yang diumumkan oleh Menteri Perdagangan  Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali yang bertujuan memastikan pematuhan oleh peniaga sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri berdasarkan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Kementerian.

“Sudah tentu pemeriksaan di bawah Ops Pantau ini memfokuskan pemantauan ke atas beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan dan harga barang, jualan murah, penggunaan alat timbangan, penjualan barang tiruan/cetak rompak, perbahasaan halal dan penjualan barang-barang keperluan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi temubual bersama Sandakan FM di sini semalam.

Azdy berkata, selain pemeriksaan, KPDN turut melaksanakan inisiatif Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi mengawal harga barangan keperluan tertentu semasa musim-musim perayaan utama dalam negara.

Katanya, ia bertujuan memastikan kestabilan harga dan mengelakkan kenaikan harga yang tidak munasabah akibat peningkatan permintaan pada musim perayaan. 

“Untuk Aidilfitri, ia dijangka akan dilancarkan dan dilaksanakan bermula pada 24 Mac sehingga 7 April 2025. KPDN akan mengumumkan barangan keperluan yang terlibat dengan SHMMP semasa majlis pelancaran nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Azdy berkata, selain pemantauan dan penguatkuasaan, KPDN turut melaksanakan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM).

Katanya, bagi daerah Sandakan, sebanyak 78 penganjuran PJRM telah dilaksanakan bermula Januari hingga bulan ini.

“Menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri 2025 yang bakal tiba, sebanyak 25 penganjuran lagi untuk PJRM akan diadakan di sekitar Sandakan. PJRM ini akan diteruskan khasnya di daerah ini di  sepanjang tahun 2025,” katanya.

Dalam pada itu, Azdy berkata, pihaknya turut akan melaksanakan beberapa operasi bersepadu antaranya Ops Bersepadu KPDN dan PGA Batalion 20 Beluran di RCP Sapi Nangoh; Ops Bersepadu KPDN, APMM dan JPDS di sekitar perairan Sandakan dan Ops Bersepadu KPDN dan Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sandakan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

GRS-PH sebuah kerajaan peduli rakyat – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular