Kota Kinabalu : Sebanyak 2,000 bungkusan bubur lambuk telah diagihkan kepada penduduk sekitar Sepanggar sempena penganjuran Program Kasih Ramadan : Masak Dari Hati di sini baru-baru ini.
Program anjuran Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Politeknik Kota Kinabalu (PKK) itu turut mendapat kerjasama antara Adabi Sabah Distribution Sdn. Bhd. dan Restoran Citarasa De’Bayu.

Yang Dipertua JPP PKK Muhammad Daniel Hakim Abudus, berkata, penganjuran program itu adalah bertujuan bagi mengeratkan silaturrahim antara JPP PKK selain memberi semula kepada komuniti setempat.
“Kami telah mengedarkan bubur lambuk di sekitar PKK, Klinik Komuniti PCC, Surau Al-Mustafa KKIP V19, Masjid Al-A’laa Kampung Lokub, Surau Indah Permai dan Petronas KKIP.
“Saya merakamkan setinggi penghargaan kepada Adabi Sabah Distribution Sdn. Bhd dan Restoran Citarasa De’Bayu kerana telah memberi sumbangan dan turut sama-sama hadir memasak bubur lambuk secara gotong royong bersama-sama sehingga selesai,” katanya.
Penasihat JPP PKK, Fitriyah Mirojono berkata program seperti ini dapat membangunkan modal insan para pelajar dan membantu pelajar mendalami dan memahami konsep tanggungjawab sosial korporat dalam dunia yang sebenar.

Hadir sama Timbalan Pengarah Akademik PKK Abdul Razak Mohd Daim, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Muhammaddin Jair, Pengawai Pengambilan dan Data Mohd Hanif Abd Rahman, Pengurus Adabi Sabah Distribution Sdn. Bhd Muhammad Zahari Muhd Nasir dan Pengurus Restoran Citarasa De’ Bayu Noor Hafis Mat Rain – SABAH MEDIA / FOTO PKK