Kota Kinabalu : Pasukan bola sepak Al-Nassr berjaya menjuarai Liga ‘KK Teda Social League 2025’ yang berlangsung di Fut8 Padang Kontena, Sembulan di sini semalam.
Liga yang disertai sebanyak enam buah pasukan itu berlangsung selama tiga bulan berakhir semalam dianjurkan oleh Jawatankuasa KK Teda Social League
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bahagian Api-Api, Datuk Yeo Boon Hai dan juga Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Sabah, Mohd Arziz Afizy Rumsani.
Juara kejohanan itu berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000, piala serta pingat.
Naib juara kejohanan pula dimenangi pasukan Unsur Hebat yang membawa pulang hadiah Piala beserta medal dan tempat ketiga dimenangi pasukan S84 FC yang turut membawa pulang hadiah piala beserta medal.
Sementara itu Mohd Arziz Afizy ketika ditemui berkata, liga yang dianjurkan itu bukan sahaja memberi peluang kepada pemain beriadah tetapi turut membuka ruang kepada bakat-bakat baharu untuk diketengahkan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur atas usaha menjayakan liga ini dan berharap ia dapat diteruskan serta dipertingkatkan pada masa akan datang.
Selain itu beliau juga berharap kejohanan seperti ini dapat dianjurkan setiap tahun dengan penambahbaikan agar ia mencapai matlamat sebenar penganjurannya.
Penganjuran ‘KK Teda Social League’ edisi kali ini dianggap lebih mencabar kerana berlangsung dalam bulan Ramadan.
Namun, acara ini tetap mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pasukan-pasukan tempatan, sekali gus membuktikan bahawa sukan mampu menjadi aktiviti riadah yang bermanfaat sepanjang bulan mulia ini – SABAH MEDIA