Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Seorang lelaki terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini, kelmarin, membebaskan dan melepaskannya daripada dua pertuduhan dadah.
Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan setiap elemen pertuduhan, yang jika tidak disangkal atau dijelaskan, boleh membawa kepada sabitan kesalahan terhadap Jackie Lau Lik Ing, 39, di akhir kes pendakwaan.
“Pendakwaan juga gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh atas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya. Oleh yang demikian, tertuduh dengan ini dibebaskan dan dilepaskan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri,” katanya.
Bagi pertuduhan pertama, Jackie didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ketamin seberat 218.5 gram pada 10 Disember 2023, kira-kira jam 6.50 petang di sebuah rumah di ITCC, Manhattan Suites, Penampang.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki dadah berbahaya jenis 3.4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 90.6 gram pada masa dan tempat yang sama.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan sehingga 15 kali, sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.
Pihak pendakwaan telah memanggil lima orang saksi sepanjang perbicaraan.
Jackie diwakili oleh peguam Hairul Vaiyron Othman dan Luke Ressa Balang.
Jackie tidak diberikan jaminan dan telah ditahan sejak 10 Disember 2023 sementara menunggu kes selesai.