HomeUtamaPerdana Menteri puji ketenangan Hajiji hadapi hiruk-pikuk politik

Perdana Menteri puji ketenangan Hajiji hadapi hiruk-pikuk politik

Read Time:1 Minute, 57 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Tuaran: Ketenangan dan kesederhanaan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam menghadapi hiruk-pikuk politik di Sabah penting bagi menjaga kestabilan selain membantu Kerajaan memberi tumpuan kepada perkara yang lebih penting untuk rakyat dan negeri.

Pendekatan itu turut dihargai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Sabah di Padang Istiadat Tuaran, di sini, hari ini.

“Saya ucap terima kasih tadi dalam mesyuarat kepada Ketua Menteri kerana beliau sudah dapat bantu, pertama, tenang dan menyederhanakan dalam suasana hiruk-pikuk politik yang tak berkesudahan.

“Ini penting sebab apa kita mahu ialah stabil..stabil ini bantu kita fokus dalam kerajaan sekarang. Saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan kita dalam semua parti bekerjasama memberi sokongan,” katanya.

Majlis turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali selaku pengerusi majlis berbuka puasa.

Anwar berkata, apabila Kerajaan stabil, tumpuan terhadap transisi tenaga boleh diberi perhatian selain pelan pembangunan dan kecerdasan buatan yang kini menjadi teknologi baharu yang hebat kencang merombak sistem dunia.

“Ini kita boleh fikir dengan tenang sebab politiknya stabil. Kalau tidak mana mungkin Perdana Menteri dapat fikir masalah AI. Kerana AI Anwar Ibrahim itu mahu ditumbangkan, jadi tumpu dalam soal pembangunan, masalah rakyat,” katanya.

Terdahulu, Anwar dalam kemaskini di Facebook berkata, ketika menghadiri mesyuarat pembangunan di Pejabat Daerah Tuaran, perbincangan terarah kepada prestasi pencapaian pelaksanaan projek Rancangan Malaysia di negeri Sabah termasuk status projek sakit, permohonan projek keutamaan negeri bagi tahun 2026 dan status kemiskinan tegar.

Katanya, turut disentuh inisiatif-inisiatif program Sabah Maju Jaya (SMJ), status Projek SejaTi MADANI di Sabah, status Projek Kampung Angkat MADANI di Sabah, status Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta permohonan tambahan pembaikian jalan raya di negeri Sabah.

“Saya singgung pentingnya diberi penekanan terkait projek bekalan elektrik, pembinaan taman perindustrian, perumahan rakyat dan pembaikan jalan raya bagi memastikan penyediaan kemudahan asas dan pembangunan ekonomi sentiasa seiring dipacu untuk keselesaan kehidupan rakyat di negeri Sabah.

“Sekalung penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah dan seluruh jentera pentadbiran negeri serta semua kepimpinan masyarakat setempat yang telah menjunjung kebersamaan amat tinggi serta menjalin kerjasama erat dalam memastikan kestabilan politik yang baik agar pembangunan ekonomi serta tarikan pelaburan dapat dilaksanakan dengan jayanya di negeri Sabah ini,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Kempen keselamatan jalan raya tingkat kesedaran pengguna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular