Oleh ERDIE AB WAHID
Tuaran : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan beliau bersama pemimpin negeri apabila datang ke Sabah tiada membincangkan soal bersifat peribadi.
Malah katanya, pertemuan itu adalah melibatkan perkara yang berkait dengan kepentingan rakyat.
“Saya jumpa Hajiji tadi, bukan cakap adakah tanah beri kepada saya sikit, ada tak balak untuk saya, tiada. Sebaliknya kita bincang bagaimana miskin tegar, bagaimana rumah rakyat, bagaimana jalan berlubang, bagaimana bekalan air.
“Itu yang kita cuba lakukan dan saya ucap terima kasih kepada Hajiji dan pasukannya yang bekerja keras. Kita tidak boleh fikir soal peribadi, ini penting kita merubah sikap pimpinan ini

“Kalau pimpinan di atas itu serius bersatu, tumpu pembangunan, bukan asyik hentam sana, hentam sini, maki hamun sana, maki hamun sini, benci sana, benci sini, fikir soal warna kulit, fikir bergaduh soal budaya, bergaduh soal bahasa, bergaduh pasal daerah tak akan selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Sabah di Padang Istiadat Tuaran, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali selaku pengerusi majlis berbuka puasa.
Anwar berkata adalah lebih baik pemimpin berpakat dan menyelesaikan satu persatu masalah rakyat.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata mesyuarat beliau dengan pemimpin kerajaan negeri lebih membincangkan projek bekalan air, elektrik, jalan, sekolah dan klinik.
“Bayangkan kalau semua kita berpakat kita mahu jadikan Sabah ini negeri maju, hebat dan berjaya serta menjadikan Malaysia ini negeri gagah dan terkenal.
“Dan semua kita ambil sikap kerja sekuatnya, ikhlas, hentikan segala penyelewengan. Bayangkan dalam setahun dua tahun, kalau semangat ini ada kita boleh lakukan perubahan untuk Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA