Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Dua bakat muda selain seorang pemain berpengalaman menjadi antara pemain baharu yang diserap ke dalam pasukan bola sepak wanita Sabah bagi menguatkan skuad menghadapi saingan Liga Wanita Nasional (LWN) pada musim ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Sabah, Muhd Arziz Afizy Rumsani berkata, antara pemain baharu yang diserap masuk ke pasukan senior adalah Nina Hasmaji dan Chelsea Leona Julius masing-masing berusia 15 tahun.

Katanya, kemasukan pemain itu adalah bagi menguatkan lagi barisan pertahanan yang dijangka memberikan kestabilan dan kekuatan kepada pasukan.
Menurutnya, selain menambah pemain, Sabah turut mengekalkan sebahagian besar skuad musim lalu.
“Pada musim ini, seramai 26 pemain daripada skuad musim lalu dikekalkan, manakala tiga pemain baharu ditambah bagi memperkuatkan pasukan.

“Kita menyerap masuk beberapa pemain muda berbakat berusia 15 tahun ke dalam skuad senior, antaranya Nina Hasmaji dan Chelsea Leona,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan ‘KK Teda Sosial League 2025’ di sini semalam.
Arziz berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada strategi pasukan Sabah untuk membina pasukan yang lebih mantap dan kompetitif bagi menghadapi musim baharu.

Katanya, dengan adanya gabungan pemain muda dan senior, beliau berharap dapat menampilkan aksi terbaik dalam LWN 2025.
Perkembangan ini dilihat sebagai satu langkah positif dalam pembangunan bola sepak wanita di Sabah, yang terus memberi peluang kepada pemain muda berbakat untuk bersaing di peringkat tertinggi. – SABAH MEDIA