KINABATANGAN: Seramai 165 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag menerima bantuan dalam program Jelajah Iftar 2025 yang dianjurkan dengan tajaan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah.
Program yang berlangsung di Dewan Sri Lamag itu menyaksikan 125 penerima menerima sumbangan bakul makanan, manakala 40 penerima lain menerima bantuan khas daripada Sabah Softwoods Berhad dan UPPM.
Antara penerima sumbangan termasuk golongan asnaf, orang kurang upaya (OKU), dan ibu tunggal.
Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau, menegaskan komitmen syarikat dalam membantu masyarakat serta membuka peluang pekerjaan kepada golongan yang memerlukan, termasuk OKU.
“Seperti yang disebut oleh YAB Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, UPPM memainkan peranan penting dalam membantu rakyat. Di bawah kepimpinan Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin, UPPM amat progresif dan benar-benar turun padang untuk menjaga kebajikan masyarakat.
“Syabas kepada barisan kepimpinan tempatan kerana memastikan golongan ini tidak terpinggir. Saya berasa gembira kerana sumbangan daripada KTC benar-benar memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan. Terima kasih kepada Pengarah UPPM dan para Pegawai PPM atas pelaksanaan program ini.
“KTC sentiasa komited untuk merekrut individu terbaik dalam pasaran kerja, pada masa yang sama membuka peluang kepada orang ramai, termasuk golongan OKU, untuk berkembang dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dengan kehadiran kira-kira 700 penduduk setempat, majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin, PPM Sukau, Johainizamshah Johari; wakil ADUN Kuamut, Juslee Arpaih; Kamrin Satah; pemimpin tempatan serta wakil KTC dan pegawai-pegawai UPPM.