Sook : Seramai 300 golongan asnaf sekitar kawasan Pensiangan menerima bantuan zakat bernilai RM30,000 yang disumbangkan Agrobank pada majlis iftar Ramadan di sini semalam.
Majlis yang dihadiri lebih 700 masyarakat sekitar itu dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sook.

Arthur berkata, majlis yang diadakan it merupakan satu wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, inilah semangat yang perlu dipupuk dan suburkan dalam negara yang berbilang kaum dan agama.
Menurutnya, penganjuran majlis itu adalah cerminan aspirasi Agrobank yang bukan hanya sebuah institusi yang menyediakan penyelesaian kewangan kepada komuniti tani, tetapi juga komited dalam menganjurkan inisiatif yang meraikan dan memberi manfaat sosial kepada masyarakat setempat.
“Selain itu, inisiatif ini turut memacu pembangunan komuniti dan pendidikan dalam meningkatkan kesejahteraan hidup,” katanya.
Selain menyalurkan bantuan zakat, turut disampaikan bantuan persekolahan kepada 300 pelajar terpilih bernilai RM19,000.
Bantuan itu termasuklah beg sekolah, botol air dan pensil warna yang turut mencerminkan komitmen berterusan Agrobank dalam menyokong pembangunan pendidikan dan meringankan beban kewangan keluarga yang memerlukan, terutamanya untuk keperluan persekolahan dan persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Arthur berkata, dalam memperkukuhkan kemudahan perbankan di daerah Sook, Agrobank akan mewujudkan sebuah lagi cawangan Agrobank di Pekan Sook selewat-lewatnya pada suku ketiga tahun ini.
Beliau percaya dengan adanya cawangan Agrobank di sini, ianya akan memperkukuhkan lagi kitaran ekonomi setempat selain menyokong usaha beliau bagi melahirkan lebih ramai usahawan tempatan sejajar dengan pelbagai projek pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan di daerah ini. – SABAH MEDIA