HomeUtamaBomba komuniti, SURI bantu JBPM cegah berlaku kebakaran serius

Bomba komuniti, SURI bantu JBPM cegah berlaku kebakaran serius

Read Time:1 Minute, 30 Second

Tawau : Program Bomba Komuniti dan Sedia Urus Risiko Isi Rumah (SURI) mempunyai peranan penting dalam membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mencegah kebakaran daripada menjadi lebih serius.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Suryady Bandy berkata, kedua-dua inisiatif ini memberi pendedahan serta latihan kepada komuniti mengenai langkah awal yang perlu diambil ketika berlakunya kebakaran.

“Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pencegahan dan cara menangani kebakaran dengan lebih berkesan.

“Bomba Komuniti dan SURI terdiri daripada individu yang telah diberi latihan khas bagi memastikan tindakan pantas boleh diambil sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kempen Ops Keselamatan Kebakaran Sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Sabah di Bataras Hypermarket, di sini baru-baru ini.

Andi berkata, kerajaan berharap lebih banyak komuniti bomba dapat ditubuhkan terutamanya di kawasan kampung yang sering berdepan insiden kebakaran, bagi memudahkan tindakan awal diambil sebelum api merebak.

Dalam pada itu, Andi yang juga Ahli Parlimen Kalabakan menggalakkan lebih ramai wanita menyertai program SURI bagi meningkatkan kecekapan mereka dalam menangani kecemasan di dapur.

“SURI memberi peluang kepada golongan wanita untuk mempelajari tindakan kecemasan yang betul, khususnya dalam menghadapi kebakaran yang sering bermula di dapur akibat kecuaian seperti terlupa memadamkan dapur gas.

“Dengan kemahiran ini, mereka boleh mencegah kebakaran daripada menjadi lebih teruk,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JBPM Negeri Sabah, PKPjB Jainal @ Zainal Madasin berkata, kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang langkah keselamatan kebakaran, termasuk latihan pengosongan rumah secara sistematik serta penggunaan alat pemadam api yang betul.

“Kempen ini bermula sejak awal Ramadan pada 3 Mac lalu dan dilaksanakan melalui pelbagai aktiviti, termasuk pendedahan keselamatan kebakaran kepada Bomba Komuniti dan peserta SURI di lokasi tumpuan ramai menjelang perayaan,” katanya.

Jainal menambah, latihan tersebut dikendalikan oleh jurulatih bertauliah dari JBPM dan melibatkan 20 wanita suri rumah dari Kampung Tanjung Batu.

RELATED ARTICLES
Utama

100 penghantar p-hailing terima sumbangan baucar minyak dan kurma

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular