Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan Masyarakat dan Mesra OKU (Perkemosh) Sabah menyantuni 14 kanak-kanak pesakit kanser di Rumah Ronald McDonald, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah Likas pada Sabtu.
Pengerusi Perkemosh, Siti Mahani Sidek, menganjurkan Program Iftar untuk kanak-kanak dan penjaga di rumah tersebut bagi memberi mereka peluang merasai kehangatan kebersamaan dalam bulan Ramadan.
“Program ini bertujuan mengurangkan rasa rindu pesakit kanser kepada keluarga mereka, terutama mereka yang datang dari jauh. Ada yang sudah tinggal di sini hampir setahun dan terpisah jauh daripada keluarga.
“Aktiviti ini kami melibatkan ahli jawatankuasa Perkemosh serta ibu-ibu pesakit yang bergotong-royong dari memasak hingga menghidangkan makanan, seperti satu keluarga besar.
“Melalui program ini, kami berharap dapat memberi sedikit kebahagiaan kepada pesakit dan memberikan mereka rasa kebersamaan walaupun tidak dapat menggantikan keluarga mereka,” kata Siti Mahani.
Tambahnya lagi, program ini turut memberi peluang kepada ahli persatuan dan masyarakat untuk mempelajari nilai kasih sayang dalam kemasyarakatan.
“Kehidupan kita mungkin berbeza dengan mereka yang sedang berjuang melawan kanser… dan kita melihat ibu-ibu pesakit di sini kuat dan tidak pernah berhenti berjuang demi anak-anak mereka,” tambah Siti Mahani.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Jetsin Sdn Bhd atas sumbangan bahan mentah yang digunakan untuk memasak hidangan berbuka puasa serta usaha ahli AJK yang mengumpul sedikit sumbangan kewangan bagi meringankan beban pesakit.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Kelab Leo Kota Kinabalu yang memberi sumbangan barangan permainan dan makanan untuk kanak-kanak.
Siti Mahani berharap akan ada lebih ramai pihak yang prihatin memberi sokongan sumbangan kepada pelbagai aktiviti yang akan dianjurkan Perkemosh pada masa akan datang.