Kudat : Pembinaan Balai Cerap di Simpang Mengayau di sini dicadang untuk dibina bagi tujuan pembangunan ilmu falak di negeri ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, cadangan itu juga adalah sebagai penambahan kepada balai cerap sedia ada yang terletak di Balai Cerap Al-Biruni Putatan.

“Lokasi di sini (Simpang Mengayau) dilihat mempunyai kedudukan strategik yang menghadap luas ke arah langit, jauh dari pencemaran cahaya bandar selain sesuai untuk cerapan anak bulan dan kajian astronomi bagi penentuan kalendar Islam.
“Selain itu, cadangan pembinaan balai cerap ini juga akan berupaya menjadi pusat pendidikan falak yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar, penyelidik, dan masyarakat serta menjadi tarikan pelancongan ilmu yang menggabungkan sejarah, geografi, dan sains falak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jelajah Santunan Kasih Ramadhan di Surau Nur Iman, Tanjung Simpang Mengayau, Kudat di sini semalam.
Ruslan berkata, pihaknya telah meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) untuk menyediakan kertas kerja cadangan bagi mengkaji lebih mendalam sebelum dibawa ke peringkat negeri.
“Jika dapat direalisasikan, Simpang Mengayau bukan sahaja dikenali sebagai Titik Paling Utara Borneo, tetapi juga sebagai pusat rujukan ilmu falak di Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan masjid dan surau sebagai pusat ibadah serta perpaduan umat Islam.
Katanya, masjid bukan sekadar tempat solat, tetapi mempunyai peranan besar dalam pembangunan masyarakat.
“Sejarah telah membuktikan bahawa masjid adalah pusat perkembangan ilmu, pusat perpaduan dan tempat masyarakat mencari penyelesaian kepada pelbagai isu kehidupan,” katanya. – SABAH MEDIA